Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular, Lisa Surihani mengakui mendapat banyak tawaran menjadi duta tudung selepas mula berhijab tiga minggu lalu.

Bagaimanapun, Lisa, 33, atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed berkata, buat masa sekarang dia tidak mahu terburu-buru dengan tawaran diberikan.

"Ada tawaran menjadi duta, tapi buat masa sekarang belum lagi. Biarlah proses ini berjalan secara perlahan-lahan. Sebab takut sangat jika niat tersasar.

"Dalam masa sama, saya tak berani nak beri kata putus sama ada tidak mahu atau nak buat. Tak berani nak cakap macam itu, nanti termakan apa kita cakap.

"Janji bukan saja pada manusia, tapi kita ada janji pada diri sendiri juga. Kalau langgar janji diri sendiri, sebenarnya lebih teruk. Jadi kena berhati-hati. Saya anggap segala apa dilalui adalah proses mengajar kita kerana ada kalanya akan tumpas jua," katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, Lisa yang pelakon filem Istanbul Aku Datang berkongsi mendapat banyak hadiah tudung termasuklah daripada pengusaha jenama Duck iaitu Datin Vivy Yusuf.

Malah, Lisa berkata, dia juga menerima banyak kiriman mesej peribadi (DM) di Instagram yang ingin menghantar dan menghadiahkannya tudung.

"Alhamdulillah, apa yang saya nampak mereka nak membantu dengan perjalanan spiritual sedang dilalui ini. Kalau nak tahu, sewaktu dapat hadiah pemberian Vivy ini, mak terkejut sebab dia menjangka saya 'shopping' tudung.

"Saya menjadi 'blur' sekejap sebab mustahil tak ingat benda yang dibeli. Saya cakap tak ada pun. Jadi, apabila pulang ke rumah, saya tengok ada tiga beg. Saya terus telefon dan cakap terima kasih. Dia cakap gembira dengan keputusan saya ini.

"Begitu juga apabila ramai peminat DM nak hantar tudung. Saya berterima kasih dengan tawaran ikhlas mereka. Setakat ini memang banyak yang berikan hadiah. Masih berfikir nak susun macam mana," katanya.

Menurut Lisa, sejak pulang daripada mengerjakan ibadah umrah, dia berasakan ramai kenalan dan orang sekeliling yang mendekati serta cuba membantunya.

"Ini antara yang menyentuh hati saya iaitu 'sisterhood'. Kalau dulu nak rasa perkara sama, adalah ketika mengandung.

"Sama juga dengan perjalanan saya sekarang, ramai yang nak membantu. Bagi saya ia sesuatu yang bagus berbanding kalau kita seorang diri, ia sedikit berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 2:51 PM
LISA Surihani dapat banyak hadiah tudung. FOTO Aziah Azmee