FADZIL (kiri) tegur Fendy (kanan) bergurau tidak kena tempat dan masa. FOTO Arkib NSTP
FADZIL (kiri) tegur Fendy (kanan) bergurau tidak kena tempat dan masa. FOTO Arkib NSTP
Rudy Imran Shamsudin


PENGARAH Urusan Zeel Production Sdn Bhd (ZPSB), Fadzil Teh menyifatkan sindiran daripada pelakon sedang mencipta nama, Fendy Bakry yang mendakwa dia ‘kaki kipas’ dan cuba membodek pihak stesen televisyen bagi mendapatkan slot menerbit drama adalah satu gurauan.

Bagaimanapun Fadzil yang dihubungi berkata, gurauan itu yang dimuat naik Fendy Bakry dalam laman Instagram milik aktres Sharifah Sakinah semalam, tidak kena pada tempat dan masanya, kerana dia seorang pelakon.

Sindiran itu berlaku apabila Fendy sebelum ini memuat naik ‘emoticon’ tanda bersetuju dengan kenyataan Sharifah Sakinah yang meminta pihak stesen televisyen memberikan bayaran sekiranya mahu pelakon mempromosikan drama dibintangi.

Kenyataan dimuat naik Sharifah Sakinah itu mendapat sokongan daripada beberapa pelakon tempatan termasuk Fendy Bakry.

Fadzil kemudiannya menegur Fendy dan dia membalas dengan memuat naik kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun sebaik saja perkara itu menjadi isu, Sakinah memuat turun kembali kenyataan terbabit.

Kata Fadzil yang memang mengenali Fendy, kerana berasal dari negeri sama, Perlis, dia menganggap pelakon itu cuba bergurau dengannya.

“Umum tahu orang utara sering bergurau kasar. Kalau orang membacanya menganggap kami tidak sensitif. Masalahnya apa yang dikatakan Fendy kepada saya, tidak kena pada tempat dan masanya kerana ia membabitkan pihak lain terutama stesen televisyen.

“Saya akui isu yang cuba dibangkitkan ini agak sensitif dalam kalangan penggiat seni mahupun stesen televisyen. Menyatakan perkara ini secara terang-terangan sudah tentu akan memberikan implikasi kepada kerjaya seninya,” katanya.

Menurutnya, dia tahu Fendy cuba bergurau kerana dalam waktu sama selepas itu pelakon terbabit dilihat memuat naik dengan tujuan mahu mempromosikan drama bersiri Puteri Yang Ditukar, sedangkan dia langsung tidak terbabit dalam drama berkenaan.

“Saya tidak tahu pula sekiranya pihak produksi mahupun stesen televisyen yang menyiarkan Puteri Yang Ditukar itu membayarnya untuk mempromosikan drama terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 9:25 PM