NIZAM anggap seorang ‘underdog’ kerana nampak lekeh. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI Nizam Laksamana mengakui kecewa dengan sikap sebilangan penggiat seni yang masih mengamalkan sikap cemburu serta berhasad dengki sesama sendiri dan sering mencari kesalahannya.

Nizam, 53, yang meluahkan perasaan di laman Facebooknya berkata, isu itu tercetus apabila dia memuat naik video penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan beberapa bait lirik lagu nyanyiannya berjudul Gugurnya Bunga Cinta pada Majlis Rumah Terbuka syarikat rakaman Universal Music Malaysia baru-baru ini.

"Saya terdengar beberapa pihak mengata di belakang berkenaan hal ini.

"Katanya siapa saya dalam industri sehinggakan Siti amat teruja menyanyikan lagu ini.

"Takkanlah kerana Siti teruja menyanyi beberapa bait lirik lagu ini dan kata beliau minat lagu ini ketika zaman sekolah, saya pula dipersalahkan," katanya kepada Harian Metro.

Nizam mendedahkan dirinya sering menjadi mangsa cemburu beberapa pihak yang tidak senang dengan pencapaiannya dalam industri hiburan.

"Saya anggap seorang ‘underdog’ kerana nampak lekeh tetapi apabila sesekali tampil ke depan akan jadi perhatian.

"Saya tak pernah minta semua ini kerana hanya buat kerja sebagai anak seni.

"Situasinya sama apabila saya terpilih menyertai program Gegar Vaganza (GV) 2 kerana agak ramai yang mengecam. Masing-masing kecoh mempertikaikan bagaimana dan kenapa saya terpilih?," katanya.

Katanya, ketika berada dalam GV, dia terdengar beberapa perkataan kurang enak berkenaan penampilannya antaranya menyanyi macam tunggul kayu, gemuk dan sebagainya lagi.

"Saya pernah dikata berpakaian terlalu skema seperti pengetua sekolah berbanding mereka yang ‘stylo’.

"Itu yang mereka cemburu kerana saya nampak serba kekurangan tetapi selalu mengatasi mereka.

"Bahkan, pernah juga terjadi apabila penganjur minta nombor telefon saya daripada mereka, jawapan yang diterima ialah mereka tiada nombor saya," katanya.

Nizam berkata, dia kesal kerana perkara itu masih berlaku dalam industri hiburan yang bukanlah sebesar mana di Malaysia.

"Sepatutnya kita saling sokong menyokong dan bantu membantu, bukanlah nak menjatuhkan saudara sendiri.

"Kemampuan saya sering diragui selama ini tapi apabila berjaya menganjurkan Showcase Amal Artis 90-an pada Februari lalu, ramailah yang buka mata.

"Patutnya mereka bangga kerana usaha ini mungkin boleh menjadi perintis dan pembakar semangat untuk artis lain buat perkara sama.

"Bagaimanapun perkara sebaliknya terjadi kerana ada yang tidak percaya saya boleh melakukannya dan mengharap usaha ini menemui kegagalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 10:20 PM