Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI terkenal Aishah memuji tindakan penyanyi Indonesia, Firman Siagian yang ingin menegakkan hak apabila mendakwa subang berlian pemberian Datuk Seri Vida adalah palsu.

Aishah, 54, berkata, jika benar dakwaan Firman itu, maka tidak salah untuk membuat tuntutan ganti rugi.

“Alhamdulillah saya bangga dia berani menegakkan hak dia. Sudah semestinya kalau apa yang Firman dapat sama barang seperti yang saya dapat, apa salahnya kalau dia menuntut hak dia,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Aishah yang juga juara program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) tidak mahu mempersoalkan kenapa baru sekarang ada rakan lain dari pertandingan sama tampil menuntut perkara sama.

Aishah berkata, sebagai Kak Long dalam pertandingan musim itu, dia menganggap tindakannya sebagai pembuka jalan kepada orang lain.

”Ketika di GV4 dulu, mereka panggil saya Kak Long. Tidak apa, biar Kak Long buka jalan dulu supaya adik dan teman artis sedar yang kita semua ada hak dan undang-undang pun boleh melindungi hak kita.

“Biarlah saya ‘luka’ dihentam untuk bawa perkara ini ke pengadilan, asal saja pada masa akan datang orang takkan berani dan senang-senang janjikan bulan dan bintang pada anak seni tapi akhirnya?

“Kalau yang lain berasakan mereka juga tertipu, maka silakanlah sebab kes sebelum ini sudah terbukti. Semoga kebenaran selalu ditegakkan,” katanya.

Aishah yang popular menerusi lagu Janji Manismu tidak mahu memaksa finalis GV4 lain untuk membuat tindakan sama.

“Saya tidak boleh nak cakap bagi pihak mereka. Lebih baik tanya mereka sendiri. Dalam perjuangan macam ini, tak ada paksaan.

“Saya hanya boleh buat apa yang dalam bidang kuasa saya saja. Tapi, macam dikatakan, saya sudah buka jalan untuk mereka. Jadi terpulanglah kepada diri masing-masing untuk buat keputusan apa langkah mereka seterusnya,” katanya.


DATUK SERI VIDA

Dalam pada itu, Aishah berkata, dia sudah mendapat barangan kemas bernilai RM80,000, kelmarin melalui peguamnya.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan Firman mendakwa mulai meragui ketulenan barangan kemas dimenanginya selepas menonton berita mengenai tuntutan dibuat Aishah tahun lalu.

Menurut Firman yang popular menerusi lagu Kehilangan, hatinya kuat mengatakan subang berlian itu adalah palsu selepas mendapat tahu Aishah berjaya mendapat ganti rugi daripada tuntutan dibuat.

Sementara itu, Vida dalam kenyataannya kepada Harian Metro malam tadi menafikan dakwaan Firman.

Vida berkata, subang berlian RM30,000 yang diterima Firman adalah berlian gred cuma bukan berlian asli seperti yang Aishah pilih.

Vida juga berharap Firman tidak terpengaruh dan terikut-ikut dengan tindakan Aishah, malah mengalu-alukan Firman pergi buat pemeriksaan sendiri di makmal untuk mendapat keputusan lebih terperinci.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 12:05 PM