YUNA rasa penting untuk menari dalam persembahan supaya lebih hidup.
Georgie Joseph


PENYANYI Yuna menyifatkan elemen tarian dalam setiap persembahan terbarunya adalah ekspresi dirinya sebagai anak jati Melayu yang cintakan budaya tradisional Malaysia.

Yuna atau Yunalis Zarai, 33, berkata dia tidak melihat keputusannya untuk menari dengan koreografi lincah adalah salah mahupun tidak menggambarkannya sebagai wanita Melayu sejati.

“Sebenarnya sudah lama saya mahu memasukkan elemen tarian dan menari dalam persembahan. Bagaimanapun, saya tidak punya keberanian itu sebelum ini dan risau cakap orang.

“Saya mendapat keyakinan apabila orang terdekat terutama suami memberi sokongan dan minta untuk tidak pedulikan cakap orang. Lagipun, saya rasa penting untuk menari dalam persembahan supaya lebih hidup,” katanya.

Penyanyi lagu Dan Sebenarnya itu juga mahu tarian menjadi sebahagian daripada persembahannya sekarang sesuai dengan konsep album baharunya berjudul Rogue.

“Kita pun tahu budaya tarian dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat kaya dan menarik seperti joget. Disebabkan itulah saya mahu berseronok dengan menari sebagaimana masyarakat kita cintakan tarian tempatan.

“Lagipun, lagu dalam album baru saya memang kebanyakannya rancak. Tak mahulah saya nyanyi terpacak saja padahal nyanyi lagu rancak,” katanya.

Yuna ditemui sewaktu menjayakan pesta muzikal berprestij Good Vibes Festival 2019 yang berlangsung di The Ranch, Gohtong Jaya, Genting Highlands, kelmarin dan semalam.

Festival itu turut dijayakan artis antarabangsa termasuklah Daniel Ceaser, Sabrina Claudio, Dean dan ramai lagi.

Penyanyi berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) itu kini dalam rangka menjayakan siri jelajah di sekitar AS dan Eropah. Siri jelajah itu bersempena pelancaran album terbarunya berjudul Rogue.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 3:39 PM