NASH minta penulis lirik sekarang berkongsi ilmu dengan orang berpengalaman untuk hasilkan karya berkualiti. FOTO Arkib NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENYANYI, Datuk Nasharudin Elias, 60, atau Nash Lefthanded meluahkan kekecewaan dengan penghasilan lagu pada masa ini yang kebanyakan bersifat hiburan semata-mata.

Berkongsi pandangan, Nash berkata, tidak seperti lagu era 60-an hingga 90-an lirik lagu dihasilkan memberi banyak maksud yang mendalam.

"Lagu terdahulu memberi nasihat dan teguran untuk manfaat semua pendengar. Lagu sekarang bersifat hiburan semata-mata dengan kebanyakannya berkait cinta sesama manusia," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, masalah itu disebabkan penulis lirik ketika ini tidak membuat kajian mengenai sesuatu isu untuk dilagukan.

"Bagi saya, lagu sekarang hanya bersifat tangkap muat. Penulis lagu sekarang tidak mahu berkongsi ilmu dalam penghasilan lirik menyebabkan industri hiburan tidak berkembang," katanya.

Katanya, tidak seperti penulis lirik Allahyarham Rosli Khamis (Loloq) dan S Amin Shahab, mereka gemar berkongsi pandangan serta membuat kajian mendalam.

"Apabila kajian dibuat, lagu yang dihasilkan bermutu dan memberi manfaat. Sebagai contoh lagu yang dihasilkan Loloq iaitu Tanya Sama Itu Hud Hud sangat mendalam maknanya.

"Saya pernah berkarya dengan Allahyarham Loloq dalam penghasilan lagu Hapuskan Lanun Cetak Rompak dan ia bersesuaian dengan keadaan semasa," katanya.

Menurut Nash, selain lagu bersifat ketuhanan dan kerohanian, penulis lirik juga boleh mengaitkannya dengan kehidupan manusia pada zaman ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 4:33 PM