ANAK Lan Solo, Akid cedera di beberapa bahagian badan selepas terjatuh ketika bermain luncur ais semalam. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Lan Solo
Ardini Sophia Sina


PENYANYI Lan Solo meluahkan rasa lega apabila doktor mengesahkan anak ketiganya, Muhammad Akid Qassyaff, 5, tidak mengalami kecederaan serius akibat dihempap seorang lelaki ketika bermain luncur ais, petang semalam.

Lan ketiga dihubungi berkata, dia dan isteri sudah membawa Akid ke klinik hari ini dan dimaklumkan anak lelaki mereka tidak perlu menjalani imbasan x-ray.

"Kalau ada retak atau tulang patah akan nampak bengkak pada luaran. Semalam pun Akid tidak ada muntah. Sebab itulah doktor kata tidak perlu x-ray.

"Dia hanya bekalkan ubat untuk Akid dan minta kami tunggu dua hingga tiga hari. Kalau dia muntah terus bawa ke hospital. Saya harap, semuanya okey," katanya.

Katanya, dia tidak menyimpan perasaan marah terhadap lelaki yang menghempap anaknya kerana ia adalah kejadian tidak disengajakan.

Malahan, lelaki itu jugalah yang mengangkat anaknya serta membawa keluar dari gelanggang luncur ais berkenaan dan meminta maaf.

"Saya memang panik apabila nampak kejadian itu dan Akid hanya menangis terbaring dalam gelanggang. Saya mahu masuk pun susah kerana tidak memakai kasut luncur ais.

“Jadi, lelaki itulah yang tolong angkat Akid bawa ke luar gelanggang dan dibantu oleh pihak pengurusan luncur ais itu. Dia pun tak senang duduk sebab risau pinggang Akid patah,” katanya.

Lan berkata, dia dan isteri hanya memantau dari luar kerana anaknya ditemani dua kakaknya.

“Dia memang banyak kali jatuh kerana pertama kali main luncur ais. Cuma, dia tidak bernasib baik apabila dihempap oleh lelaki yang berbadan besar sedangkan dia cuma 16 kilogram," katanya.

Pergerakan Akid masih terbatas kerana sakit pada bahagian belakang namun tidak trauma untuk bermain luncur ais pada masa akan datang.

"Saya tanya dia, nak main luncur ais lagi ke tak. Dia cakap nak main lagi. Biasalah budak, trauma dia sekejap saja. Ibu bapa yang panik dan trauma," katanya.

Selain Akid, Lan turut mempunyai dua anak perempuan iaitu Nur Amna Qaleesya, 9, Nur Amna Qeesyara, 7, dan Nur Amna Quxandra, 1 tahun lima bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 5:52 PM