NABIL Mahir (kanan) sudah lama mengenali dan berkawan rapat dengan Ayda Jebat (kiri). FOTO Arkib NSTP
Rudy Imran Shamsudin


PENGACARA Nabil Mahir enggan mengulas panjang apabila dia dikaitkan bercinta dengan penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat.

Nabil yang dihubungi hari ini bagaimanapun menegaskan bahawa dia dan penyanyi yang sedang popular dengan lagu Temberang itu hanya rakan biasa dan hubungan mereka tidak lebih daripada itu.

“Kami memang berkawan sejak dulu. Dah lama, tapi tidak sangka pula timbul isu kata kami bercinta,” katanya.

Pengacara yang pernah mengendalikan program H Live itu berkata, dia percaya gosip itu ditimbulkan memandangkan dia dan Ayda kini ‘solo’ dan tidak bercinta dengan sesiapa.

“Minta maaf, hanya itu saja yang boleh diperkatakan mengenai dakwaan dan gosip mengatakan saya dan Ayda bercinta,” katanya.

Sebelum ini ramai pihak membuat andaian Nabil dan Ayda menjalin hubungan istimewa apabila masing-masing berbalas mesej di laman sosial.

Malah antara mereka pernah meninggalkan mesej menyatakan ‘I Love You’ di laman Instagram dan memuat naik gambar memakai baju warna sedondon.

Perkara itu juga menjadi perbualan hangat dalam kalangan warganet sehingga dipetik ruangan gosip akhbar tempatan, lebih-lebih lagi apabila timbul isu yang mengatakan Ayda dan aktor, Redza Rosli tidak lagi bersama.

Nabil yang kini sibuk menguruskan perniagaan keluarga, sebelum ini mengumumkan dia dan kekasih hatinya juga pelakon, Sarah Hildebrand sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 8:19 PM