ROHANA bersyukur kerana hingga sekarang masih mendapat tawaran persembahan menyanyi walaupun tidak banyak. FOTO Hafiz Sohaimi
Norhayati Nordin


"NAK rakam lagu memang tak ada masalah, tapi apakah ia (lagu) akan disiarkan radio? Itu yang membuatkan saya berfikir tidak perlu bazir duit.

"Biarlah, saya terus menyanyikan lagu lama yang hingga kini Alhamdulillah, masih lagi diterima baik dan disukai pendengar," kata penyanyi berpengalaman, Rohana Jalil.

Rohana, 64, berkata dia yang bakat nyanyiannya diketengahkan pada era 1980-an memang sudah ada lagu sendiri dikenali ramai.

"Berdasarkan pengalaman, saya dapati kebanyakan penyanyi muncul pada era 1980-an dan 1990-an memang ada lagu sendiri yang berjaya mempopularkan nama masing-masing.

"Bila lagu ini dinyanyikan sebagaimana saya mendendangkan lagu Rayuanku, orang automatik sudah kenal dan pasti ingat siapa penyanyinya," katanya.

Pemilik nama sebenar Dara Abdul Jalil itu berkata, setakat mahu merakam lagu tiada masalah untuk penyanyi lama sepertinya menyediakan antara RM5,000 atau RM6,000 untuk mendapatkan lagu baru.

"Kalau ikutkan memang ramai penyanyi lama yang ingin merakam lagu baru dan membuat kemunculan semula. Tetapi, apakah lagu itu ada peluang disiarkan?

“Malah, saya dapati pada masa sekarang sama ada penyanyi lama atau bakat baru, masalah dihadapi adalah sama. Lagu sukar dapat peluang disiarkan radio.

"Ikut nasib radio nak main kalau lagu itu sudah mendapat tempat di hati peminat dengan cara popular di platform digital seperti YouTube," katanya.

Rohana berkata, adalah wajar untuk peluang diberikan lebih dahulu apabila setiap lagu baru yang dihantar penyanyi cuba disiarkan radio dalam tempoh sebulan.

"Saya yakin kalau dah saban hari disiarkan, pasti orang akan suka. Namun, jika tidak diberi peluang sudah tentu tak ke manalah.

"Apapun, saya sedar kalau nak buat lagu baru kena sesuai dengan era kini. Sebagai penyanyi, kena dapatkan pencipta lagu yang betul. Jangan membazir duit," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia tetap bersyukur kerana hingga sekarang masih mendapat tawaran persembahan menyanyi walaupun tidak banyak.

Rohana yang juga ibu pelakon dan penyanyi Kilafairy, pada awal karier nyanyiannya pernah dinobatkan sebagai juara Bintang RTM pada 1980.

Antara lagu popular Rohana hingga kini ialah Masih Dalam Ingatan, Rayuanku, Resahku, Jangan Main Mata, Faez dan Naluri Cinta (duet bersama To'ki).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 8:40 PM