ADEGAN babitkan Eizlan dan Eyra.
Ridzuan Abdul Rahman


TENTU ramai yang tahu mengenai sinetron popular Indonesia berjudul Putri Yang Ditukar yang dibintangi Nikita Willy, Yasmine Wildblood, Glenn Alinskie, Rezky Aditya, Lucky Perdana dan Bobby Joseph.

Sinetron yang mendapat penghargaan sebagai Acara Sinetron dan Televisi pada Panasonic Gobel Awards 2011 dan Panasonic Gobel Awards 2012 kini diadaptasi dalam acuan tempatan oleh syarikat produksi Orangetree Production Sdn Bhd, di sini.

Masih menggunakan judul sama, dua pengarah iaitu Zamri Zakaria dan Bahri Uma Bajuri diberikan tanggungjawab mengarah drama 80 episod yang sudah menemui peminat menerusi slot Tiara Astro Prima sejak 9 Julai lalu dan akan berakhir pada 28 Oktober nanti.

Walaupun sudah ditayangkan, pasukan produksi masih sibuk di lokasi untuk menghabiskan penggambaran drama ini.

Zamri berkata, secara asasnya cerita ini masih berpaksikan kepada cerita asal, tetapi lapan penulis skrip menggalas tugas mengolah cerita ini agar lebih menarik dan kena dengan budaya tempatan.

“Inti pati ceritanya memang sama iaitu mengisahkan bayi yang ditukar ketika baru lahir tanpa pengetahuan keluarga sebenar. Seterusnya keluarga ini membesarkan bayi mereka tanpa menyedari ia sebenarnya anak orang lain.

“Ia sebuah cerita menarik kerana penuh dengan drama dan konflik yang pasti buat peminat mahu mengikutinya sehingga tamat nanti,” katanya.

Zamri mula terbabit dalam pengarahan sejak 2013 menerusi drama Walau Siapa Pun Aku untuk RTM yang tercalon dalam Top 5 Anugerah Skrin 2014.

Dia kemudian mengarah cerekarama Neraka Dunia untuk TV3 yang mendapat rating tertinggi dan seterusnya mengarahkan drama komedi Abang Haji dan Menantu Bilal terbitan Enuja Production untuk TV3.

“Untuk Putri Yang Ditukar, saya masukkan permainan emosi setiap pelakon agar peminat dapat rasa konflik yang dilalui setiap watak.

“Disebabkan pertukaran ini, pembesaran Amira dan Zahira berbeza mengikut cara kehidupan keluarga masing-masing. Konflik yang dilalui mereka bukan mudah dan ia memberi kesan kepada semua insan terdekat dan tersayang,” katanya.

Drama ini menampilkan ramai pelakon dan ini memerlukan Zamri bijak mengatur karakter mereka agar dapat menampilkan lakonan seimbang.

“Memang agak susah, tetapi sebagai pengarah, saya sentiasa dikelilingi pasukan yang bekerjasama memberikan pendapat apa yang sesuai dibuat.

“Selain babak biasa, banyak babak mencabar dan ekstrem dibuat seperti kemalangan, bergaduh, tumbuk cermin, jatuh gaung dan hilang di air terjun. Sebagai langkah keselamatan, kami mengambil keputusan menggunakan pelakon aksi lasak ngeri bagi melancarkan penggambaran,” katanya.

Putri Yang Ditukar membariskan ramai pelakon popular antaranya Elisya Sandha, Eyra Hazali, Julia Farhana Marin, Azrel Ismail, Datuk Seri Eizlan Yusof, Edika Yusof, Siti Elizad Shariffudin, Zila Bakarin, Datin Seri Maria Farida , Hafreez Adam dan Fazlina Ahmad Daud.

Menurutnya, produksi drama ini juga tidak mahu mengambil risiko menghasilkan drama secara caca marba apabila mendapatkan khidmat tiga doktor sebagai penasihat cerita ini.

“Masyarakat sekarang sudah peka dan bijak menilai sesebuah drama. Jadi sebelum kena kecam, ada baiknya kami bersedia lebih awal. Cabaran lain yang dilalui ialah masalah cuaca yang tak menentu serta jadual pelakon yang berbeza.

“Bagaimanapun, sekali lagi dengan kerjasama semua pihak, ia berjaya diatasi dan Alhamdulillah apa yang dirancang berjalan dengan baik,” katanya.

Zamri berkata, selain memberi hiburan, drama ini mempunyai mesej tersendiri yang boleh diambil oleh penonton dan yakin mampu mencipta ‘trending’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 5:15 AM