ALYAH takut kerana apa yang dilalui pada zaman internet sekarang lebih teruk. FOTO Mahzir Mat Isa
ALYAH takut kerana apa yang dilalui pada zaman internet sekarang lebih teruk. FOTO Mahzir Mat Isa
Ramlah Zainal


“SAYA berasa rimas bila orang sering kaitkan lagu dendangan dengan kisah rumah tangga.

“Sedangkan lagu ini adalah kisah perjalanan saya dalam bidang nyanyian sepanjang 19 tahun berkecimpung dalam industri seni tanah air,” kata penyanyi popular Datin Alyah ketika mengulas mengenai single terbarunya Meluruh.

Menurut Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 38, dia juga berasa sebak dan menitiskan air mata ketika menyampaikan lagu Meluruh pada majlis pelancaran single Meluruh di Petaling Jaya, hari ini kerana memikirkan perjalanan sukar yang pernah dilalui dulu.

“Saya pernah jatuh dan jatuh lagi sepanjang 19 tahun berkecimpung dalam bidang seni tanah air.

“Lagu ini juga menceritakan suka duka yang pernah dilalui dalam bidang seni.

“Saya berasa takut kerana apa yang dilalui pada zaman internet sekarang lebih teruk, apatah lagi perlu berdepan dengan orang sekeliling dan kecaman warganet,” katanya.

Single Meluruh ciptaan Alyah, Helen Yap dan liriknya Slen. Manakala video muzik rasminya arahan Ghaz Abu Bakar.

Mengulas mengenai rumah tangga dengan pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS pula, kata Alyah rumah tangganya baik-baik saja.

“Saya dan suami tidak suka untuk mencampuradukkan hal karier seni dan rumah tangga.

“Tapi suami memang tahu apa yang saya lakukan dalam karier seni termasuk mereka yang bekerja dengan saya serta pembikinan single Meluruh ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 6:54 PM