SARAH Hildebrand bukan sekadar menyara diri sendiri tetapi juga ibu yang berstatus ibu tunggal. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Ardini Sophia Sina


"SEPANJANG hubungan kami, saya dihina, ditindas atau lebih tepat lagi dibuli," kata pelakon Sarah Hildebrand mendedahkan punca sebenar perpisahannya dengan pengacara, Nabil Mahir.

Sarah menerusi akaun Instagram (IG) miliknya membuat pengakuan terbuka bahawa mereka berdua sebelum ini tidak pernah berbincang bagi membina masa depan bersama.

Rakannya turut meminta dia meninggalkan kekasihnya namun Sarah mempertahankannya dan bersikap optimistik.

Kata Sarah, setiap kali topik berkenaan dibangkitkan, Nabil selalu mengelak dan situasi itu cukup melelahkan selain dituduh curang hanya kerana dilihat ada potensi berbuat sedemikian.

"Tetapi, Allah itu adil, bekas kekasih saya mengakui dia curang dengan wanita lain. Namun, saya berusaha untuk menyelamatkan hubungan kami kerana saya bodoh.

“Saya ingatkan dapat melupakan perkara itu dan semuanya akan okey. Malangnya, ia terus menghantui fikiran saya.

"Bayangkan, selama lima tahun berulang kali disakiti, pasti akan bosan dengan hubungan itu. Saya perlahan-lahan mulai melepaskan hubungan itu. Berhenti keluar bersama, tidak lagi bergambar bersama dan fokus pada diri sendiri serta kerja," katanya.

Menurutnya, sejak itu dia mula menjauhkan diri dengan Nabil sehinggalah berlaku pertengkaran antara mereka.

Sarah berkata, dia bersyukur kerana selepas sekian lama berusaha keras, dia mulai dikenali dengan watak Nadine menerusi drama Pujaan Hati Kanda yang turut dibintangi oleh Remy Ishak dan Mira Filzah.

Bagaimanapun, dia kemudian dituduh mengejar populariti dan melakukan perkara tidak senonoh dengan pengurusnya, sedangkan perkara itu tidak benar.

“Saya bukan perempuan murahan dan akan memastikan pendapatan halal.

“Saya bukan sekadar menyara diri sendiri tetapi juga ibu yang berstatus ibu tunggal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 5:53 PM