FOTO Aziah Azmee
FOTO Aziah Azmee
FOTO Aziah Azmee
FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


KERJAYA seni Azzam Sham, 22, bermula apabila dia menyertai program Idola Kecil musim kedua pada 2011.

Diiktiraf sebagai naib juara, anak sulung daripada enam beradik ini kemudian menceburi dunia lakonan dengan membintangi drama.

Namun begitu, Azzam atau nama sebenar Muhammad Azzammuddin Lop Hisham memilih memberi keutamaan terhadap pelajaran demi masa depan.

Ada ketika dia aktif dan ada masanya dia menghilang, begitulah rentak anak muda ini.

Hampir sedekad berlalu, Azzam yang menuntut dalam jurusan Diploma Muzik di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) kini tekad untuk membuat kemunculan semula.

Mempertaruhkan lagu Biar Saja ciptaan Sang Hitam dan Rudy Kasmaran, manakala lirik ditulis Sang Hitam, rezeki berpihak kepada Azzam.

Namanya yang sebelum ini pudar kembali bersinar apabila lagu itu berjaya menambat hati pendengar dan kian kerap berkumandang di radio.

Malah, penangan positif lagu Biar Saja yang bergenre balada sudah melayakkannya berada dalam carta mingguan radio popular.

Bersua dengan pemuda berbakat besar itu baru-baru ini, dia berkali-kali menzahirkan rasa syukur dengan penerimaan baik pendengar terhadap Biar Saja.

“Tak sangka pendengar suka lagu ini. Tidak dinafikan melodi dan liriknya menarik serta menyentuh perasaan.

FOTO Aziah Azmee
FOTO Aziah Azmee

“Terima kasih diucapkan kepada pendengar yang sudi menyokong lagu ini. Nampaknya, usaha dilakukan ini membuahkan hasil tak terduga,” katanya.

Ditanya adakah dia tidak tercabar dengan populariti diraih beberapa rakan seangkatan dalam Idola Kecil seperti Haqiem Rusli dan Afieq Syazwa, katanya, itu rezeki mereka.

“Saya tumpang gembira dengan kejayaan rakan lain. Bagi saya, mereka layak mendapat populariti itu kerana masing-masing bekerja keras.

“Sama ada Haqiem atau Afieq, mereka berdua sangat gigih berusaha. Sebagai rakan yang mengenali mereka, saya akan terus menyokong,” katanya.

Azzam berkata, kini dia mahu aktif dalam karier seni kerana minat dan tidak terfikir mahu mengejar populariti.

“Saya tahu nama sudah jauh ketinggalan, tetapi biarlah kerana sejak dari dulu saya memilih untuk kurang popular dan tidak begitu dikenali.

“Ini kerana, saya lebih selesa fokus belajar. Syukur, saya pernah dipilih Pelajar Terbaik Fakulti dan menerima Anugerah Dekan.

“Saya tetap yakin perlu utamakan pelajaran untuk jaminan masa depan. Justeru, pembabitan dalam karier seni sebagai memenuhi minat,” katanya.

Sehubungan itu, untuk tempoh empat bulan muzik video lagu Biar Saja dimuat naik di YouTube, ia sudah mencatat lebih 800,000 tontonan.

Mahu jadi pensyarah Pernah membintangi drama Oh My English! Class of 2015, Azzam yang membawa watak Sayur sebenarnya banyak mendapat peluang berlakon.

Bagaimanapun, jadualnya yang padat sebagai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menyebabkan dia terpaksa menolak tawaran diterima.

“Bukan saya sudah tak minat berlakon, cuma kekangan masa apabila aktiviti penggambaran selalu bertindih dengan jadual kuliah.

“Jadi, daripada saya menyusahkan pihak produksi lebih baik tolak saja,” katanya.

Ditanya tidakkah dia berasa ralat kerana menolak tawaran itu, Azzam berkata, pelajaran lebih penting kerana mahu mengejar cita-cita menjadi pensyarah.

“Saya memilih kerjaya pendidik kerana mahu berbakti kepada generasi muda akan datang dengan berkongsi ilmu pengetahuan dimiliki.

“Jiwa pendidik dalam diri saya lebih tebal. Apapun, harapan saya semoga impian ini menjadi kenyataan suatu hari nanti,” katanya.

Azzam berkata, kini dia perlu terus berusaha hingga berjaya. Malah, dia juga akan pastikan diri kekal bersih daripada cerita sensasi.

Untuk rekod, antara pencapaian terbaik Azzam di ASWARA, dia pernah muncul juara untuk pertandingan nyanyian vokal klasikal teknik suara tenor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 10:33 AM