SITI Nurhaliza terjatuh dan luka kecil di lutut ketika menyertai Perlumbaan Lebuh Raya RHB LEKAS 2019.
Sudirman Mohd Tahir


Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza terjatuh dan luka kecil di lutut ketika menyertai Perlumbaan Lebuh Raya RHB LEKAS 2019, malam tadi.

Namun, Siti Nurhaliza, 40, tetap meneruskan kayuhan hingga ke garisan penamat bagi kategori 78 kilometer.

“Ini pengalaman yang bagus. Pengayuh kental la katakan. Alhamdulillah, ini medal kedua untuk anak saya, Siti Aafiyah.

“Walaupun terjatuh dan koyak lutut, saya tetap teruskan hingga ke garisan penamat. Terima kasih semua pasukan CTDK yang banyak beri sokongan,” katanya.

Insiden itu membuatkan peminat Siti risau dan mahukan dirinya berehat.

Siti bagaimanapun berkata, tidak ada apa yang perlu dirisaukan malah mengucapkan terima kasih atas sikap ambil berat dan doa diberikan.

“Terima kasih, jangan risau semua,” tulisnya ringkas bagi menjawab komen Alif Satar dan seorang peminat.

Sementara itu, pihak RHB Group menzahirkan rasa bangga terhadap Siti kerana berjaya menamatkan kayuhan meski mengalami kecederaan ringan.

“Kami sangat bangga dengan anda kerana tetap meneruskan kayuhan hingga ke garisan penamat walaupun terjadi insiden kecil yang tidak disengajakan. Harap anda segera sembuh,” tulis wakil RHB Group.

Pada perlumbaan itu, Siti bersama pasukannya turut disertai suami, Datuk Seri Khalid dan beberapa rakan lain.

Peserta kayuhan dilepaskan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan di Plaza Tol LEKAS Kajang Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 12:08 PM