FADZIL memuji lakonan Syafie yang membawakan watak itu dengan baik.
FADZIL memuji lakonan Syafie yang membawakan watak itu dengan baik.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON dan penerbit Fadzil Zahari menafikan sengaja memuat naik poster telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi di Instagram Prokuya Studios selepas kontroversi melanda pelakon utamanya, Syafie Naswip.

Fadzil, 37, berkata, poster yang memaparkan dua personaliti berbeza Syafie itu sudah dijadualkan terlebih dahulu supaya dimuat naik hari ini.

“Saya hanya tahu Syafie putus tunang dan tidak menjangka pula ada isu lain yang timbul. Malah, poster yang dimuat naik hari ini adalah secara kebetulan sahaja.

“Saya bersama pasukan memang tidak ada niat lain malah jauh sekali bertujuan untuk mengambil kesempatan atas apa yang menimpa Syafie sekarang.

“Lagi pun, poster itu sudah dijadualkan untuk dimuat naik hari ini. Mungkin sebab itu orang fikir sedemikian,” katanya kepada Harian Metro.

Fadzil berkata, rekaan poster itu dibuat sesuai dengan jalan cerita telefilem berkenaan yang memaparkan kehidupan golongan Lesbian Gay Bisexual dan Transgender (LGBT) di pusat tahfiz.

“Itu memang rekaan asal poster. Ia bukannya baru dibuat untuk tujuan strategi atau mensensasikan isu yang berlaku.

“Kalau tengok rekaan poster pun boleh tahu serba sedikit jalan cerita telefilem ini. Ia mengenai kisah LGBT yang berlaku dalam kalangan pelajar tahfiz.

“Sewaktu pihak RTM menawarkan cerita ini, saya agak terkejut juga sebab tak pernah lagi dibuat orang dan dipaparkan dalam drama TV. Walaupun secara realiti ia berlaku tetapi isu ini tidak diperbesar-besarkan,” katanya.

Fadzil berkata, dia memuji lakonan Syafie yang membawakan watak itu dengan baik.

“Dia berikan yang terbaik untuk watak ini. Saya tabik dan kagum dengan usaha diberikan. Aspek lakonan tak perlu dipertikaikan lagi. Dia memang pelakon yang bagus.

“Buat masa sekarang, kami masih menunggu tarikh tayangan daripada RTM. Saya harap apabila ia ditayangkan nanti, telefilem ini akan mendapat sambutan,” katanya.

Telefilem arahan Eyra Rahmah itu turut menampilkan pelakon Fezrul Khan, Taiyuddin Bakar, Aman Grasek, Sheila Mambo dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 5:27 PM