NABILA sangat menghargai setiap komen positif yang ditinggalkan pengikut. FOTO Azhar Ramli


PENYANYI Nabila Razali mengakui tidak tertekan apabila penampilannya sering menerima kritikan warganet walaupun terpaksa memadam foto yang menerima banyak kecaman.

Nabila ketika dihubungi berkata, keputusan memadam foto yang tidak disukai warganet adalah cara terbaik kerana dia mengambil kira setiap komen dan nasihat diberikan.

"Saya sangat menghargai setiap komen positif yang ditinggalkan pengikut. Nasihat dan teguran diberikan adalah untuk memastikan saya menjadi seorang yang lebih baik pada masa akan datang.

"Keputusan memadam gambar tidak disukai pengikut bukan bermakna gambar itu keterlaluan atau saya bersetuju dengan komen mereka, tetapi saya tidak mahu mereka terus berbalah mengenai gambar yang bukan isu besar.

"Sebenarnya setiap gambar yang dimuat naik di media sosial saya sangat berhati-hati. Sampaikan saya akan 'zoom' foto yang ingin dimuat naik supaya ia tidak mengundang kecaman," katanya.

Menurut Nabila, dia berharap warganet tidak cepat menghukum atau mengkritik penampilannya kerana dia masih tahu batas yang perlu dipatuhi.

"Ahli keluarga dan pengurus adalah individu yang akan menjadi 'CCTV' saya. Mereka akan lihat setiap gambar atau video yang saya muat naik dan menegur jika ia tidak sesuai.

"Malah saya juga akan kongsi foto yang sesuai saja kerana Instagram adalah platform untuk saya berkongsi kehidupan sebagai penghibur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 6:23 PM