AIMAN tidak mahu membabitkan diri dalam anugerah membabitkan pengundian. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Aiman Hakim Ridza menjelaskan tindakannya baru-baru ini memuat naik paparan skrin di Instagram Story, meminta supaya peminatnya tidak membuang masa dan wang mengundinya untuk Anugerah Bintang Popular BH ke-32 (ABPBH 32) adalah kerana dia mahu fokus kepada hal lain.

Menurut Aiman, dia punya matlamat tersendiri sebagai pelakon dan mahu peminat menghargai hasil kerjanya secara profesional.

"Saya sendiri pun dah meminta maaf kepada pihak yang terbabit mengenai isu ini. Niat saya adalah untuk tidak membabitkan diri dalam anugerah sebegitu.

"Pada saya, fokus adalah kepada pertandingan yang lebih bermakna untuk diri," katanya kepada Harian Metro.

Satu lagi alasan Aiman adalah, untuk mengelakkan berlaku pertelingkahan dalam kalangan peminat.

"Kalau mereka nak menyokong, biarlah secara sihat dan positif. Sebelum ini, pernah berlaku ada peminat yang bergaduh dengan kelab peminat artis lain.

"Jadi, saya tak mahu perkara sebegitu berulang lagi. Lagi pula, peminat pun sedia maklum dengan pendirian saya.

"Nama saya tercalon pun mungkin kerana ada segelintir peminat yang masih mengundi," katanya.

Aiman bagaimanapun tidak mahu terlalu berharap untuk memenangi anugerah dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa yang namanya tercalon.

"Kalau ada, alhamdulillah. Kalau tak, tak mengapa. Saya tak terlalu berharap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 5:52 PM