KETIKA Syed Ali mahu ‘lari’ daripada berlakon, tawaran datang mencurah-curah.
Ardini Sophia Sina


PERNAH mengeluarkan kenyataan sudah berhenti berlakon, namun Syed Ali sebenarnya masih menerima tawaran berlakon dan akan menjayakannya jika ada masa terluang dan bayaran yang diberikan juga setimpal.

Katanya, dia tidak pernah merajuk dengan industri seni namun kadang-kadang kecewa apabila ada sesetengah individu yang bermulut manis tetapi apabila tiba masanya ia tidak seperti yang dijanjikan.

“Keputusan berhenti itu bukanlah dipengaruhi emosi atau sebab saya merajuk. Kalau saya buat begitu pun, tidak ada untungnya.

“Bagaimanapun, saya kecewa dengan mereka yang pernah menjanjikan bulan bintang namun bayaran yang diberikan itu tidak setimpal dengan kerja keras. Jadi, lebih baik saya berhenti seketika dan buat kerja lain yang boleh menjana pendapatan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Syed, ketika niat untuk berhenti itu dikeluarkan dan dia mulai sibuk dengan perniagaan, ketika itulah tawaran dalam bidang seni melimpah-ruah.

Syed mula membina nama menerusi drama seperti Renjis, Gondola Cinta Di Venice dan Asmara, namun perlahan-lahan namanya hilang dari radar bidang lakonan.

Walaupun wajahnya sudah jarang menghiasi kaca televisyen, masih ada beberapa drama membabitkan dirinya yang belum ditayangkan. Malah, Syed bakal menjalani penggambaran pada November nanti untuk filem Amukan Kuntilanak.

“Apabila saya buat keputusan untuk lari dari bidang lakonan, ketika itulah banyak pula tawaran yang datang. Tetapi, saya pula sudah sibuk dengan perniagaan.

“Sekarang ini, saya masih berlakon tetapi hanya apabila ada masa terluang. Saya sudah mulakan perniagaan, oleh itu, perlu untuk diberikan perhatian juga,” katanya.

Mempunyai kelompok peminat tersendiri, kata Syed, ada antara mereka yang bertanya kenapa jejaka itu sudah lama tidak muncul berlakon dan tidak kurang juga merindui lakonannya.

“Walaupun sudah lama tidak berlakon, ada dalam kalangan peminat yang rindu dengan kemunculan saya. Mereka kerap tanya kenapa saya tidak berlakon lagi. Saya masih aktif lagi, cuma ada drama yang belum ditayangkan.

“Ada juga yang cakap, saya pelakon sendu. Perkara itulah yang menyebabkan saya nekad untuk melakukan sesuatu. Sebab itulah saya buat bisnes sabun cuci pakaian jenama Be Fresh.

“Tidak mengapalah, walaupun sendu, sekurang-kurangnya saya masih ada sumber pendapatan. Dalam bidang seni, kita perlu sentiasa menyediakan payung sebelum hujan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 4:30 AM