ZULHUZAIMY
ZULHUZAIMY
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“SAYA sangat kecewa dengan Farid. Dulu kami bersama-sama, tetapi kini dia mahu bergerak sendiri,” kata pelakon dan sutradara filem Zul Huzaimy Marzuki atau Zulhuzaimy, 41.

Zulhuzaimy berkata, dia mengambil keputusan menarik diri daripada menjayakan filem Rem-It 2 berikutan pengarah bersama iaitu Datuk Farid Kamil mahu menghasilkan filem sendiri.

Zulhuzaimy mendakwa Farid melanggar perjanjian apabila mengetepikan pembabitan ribuan pelakon tambahan yang juga ahli Kelab Spark Malaysia.

“Berdasarkan perjanjian, Farid mendapatkan tajaan berjumlah RM3 juta manakala saya menguruskan skrip filem. Perjanjian turut menyatakan keuntungan Remp-It 2 akan dimasukkan ke akaun kelab untuk kebajikan ahli,” katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Zulhuzaimy, sebaik sahaja kes mahkamah Farid selesai, pelakon itu menghasilkan filem sendiri berjudul Lagenda Budak Motor Cup Prix. “Saya ada menerima jemputan Farid sebagai pelakon dalam filem arahannya. Bayaran yang ditawarkan memang lumayan tetapi jika bersetuju, saya menafikan hak ahli yang bersusah payah dengan filem asal,” katanya.

Sehubungan itu dia menolak tawaran malah tidak akan menjayakan Remp-It 2 kerana skrip filem bukan mengenai aktiviti permotoran.

Apa yang mengecewakan Zulhuzaimy, ahli kelab terbabit mengumpul dana puluhan ribu ringgit untuk membantu Farid di mahkamah.

“Tindakan dia menutup periuk nasi ribuan ahli kelab termasuk 15 pelakon,” katanya.

Antara pelakon yang membintangi Remp-It 2 ialah Dayana Roza, Cat Farish, Achey, Mamat Raja Lawak, Kazar Saisi, Jaa Sazuran, Arin Raja Lawak, Azlan Komeng, Amai Kamaruddin serta penampilan istimewa Aiman Tino dan Black Hanifah.

Filem yang sepatutnya menjalani penggambaran di Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor bulan lalu itu dijangka ditayangkan Mac tahun depan.

Menurut Zulhuzaimy, lebih mengecewakannya apabila teaser dan majlis pelancaran filem itu sudah dilancarkan Mei lalu termasuk promosi di media sosial.

Tegas Zulhuzaimy, biar apa pun yang berlaku dia tidak akan meninggalkan kelab itu kerana mereka hidup susah senang bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 7:18 PM
Digital NSTP Subscribe