SHERRY Al-Hadad
Rudy Imran Shamsudin


PELAKON dan pengacara popular, Sherry Al-Hadad tidak pernah berasa tertekan apabila ditanya soal jodoh dan pasangan hidup memandangkan ibu dan anggota keluarganya tidak terlalu bertanyakan mengenai perkara itu.

Walaupun usia sudah mencecah 35 tahun, Sherry berkata, kebanyakan ahli keluarga dan saudara yang ditemui bersikap positif dengan mendoakan supaya dia bertemu dengan jodoh yang baik satu hari nanti.

Sherry mengakui, sebelum ini dia bimbang apabila setiap kali pulang menyambut Aidilfitri di kampung halamannya di Kuching, Sarawak kerana saudara mara akan bertanya mengenai jodoh dan menjadikan ia satu isu.

“Bagaimanapun, tidak seorang pun bapa dan ibu saudara saya bertanyakan hal itu, sebaliknya mereka mendoakan supaya satu hari nanti saya bertemu jodoh dengan lelaki yang baik,” katanya.

Menurut Sherry, mereka memahami bahawa soal jodoh itu ketentuan Allah.

“Kalau orang kata saya terlalu memilih, sebenarnya saya bukanlah memilih sebaliknya saya mencari pasangan yang boleh memahami saya dan kerjaya saya,” katanya.

Menurut pengacara program Mingguan Wanita dan Big Stage ini, dia percaya setiap manusia akan melalui fasa tertentu dan kadang-kadang ada perkara yang datang dulu dan jodoh datang kemudian.

“Ada orang selepas habis belajar mereka mula membina kerjaya. Sedikit demi sedikit mengumpul harta dengan membeli kereta, rumah dan sebagainya. Ada yang bekerja dengan niat untuk membantu keluarga terlebih dulu sebelum memikirkan soal jodoh.

“Ada juga selepas habis belajar dan bekerja setahun dua sudah bertemu jodoh, jadi mereka berkahwin awal. Semua ini sudah ditentukan. Saya sendiri mungkin Allah dorongkan untuk membina kerjaya terlebih dulu sebelum jodoh didatangkan kepada saya kemudian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 6:47 PM