MUCIEN mahu berjaya sebagai penyanyi untuk ubah nasib keluarga. FOTO: Syakirah Azhar
Syanty Octavia Amry


NIAT sekadar suka-suka memuat naik lagu ciptaannya berjudul Datang dan Pergi di YouTube akhirnya membuatkan nama Mucien menjadi sebutan di laman sosial.

Mucien atau nama sebenarnya Muhamad Muhsin Baharuddin, 19, berkata, sejak kecil dia begitu meminati bidang nyanyian. Dia juga sudah menyanyikan beberapa lagu bersama abangnya yang memang gemar mencipta lagu.

Walaupun belum dikenali, Mucien berjaya mencuri perhatian apabila lagu berkenaan mencatat lebih 1 juta tontonan sejak dilancarkan tahun lalu.

Gembira dengan sambutan itu, Mucien berharap dapat terus menghasilkan lagu yang menjadi kegemaran pendengar.

“Alhamdulillah saya memang tidak sangka. Pada awalnya hanya suka-suka kerana sekarang memang menjadi trend apabila kita memuat naik video atau apa saja lagu yang kita nyanyikan.

“Selepas melihat sambutan mereka yang menonton, memang terkejut juga kerana ia agak luar biasa buat penyanyi baru seperti saya,” katanya.

Hampir setahun lagu Datang dan Pergi, anak bongsu daripada enam beradik ini bakal tampil dengan single kedua bertajuk Noraida.

Single yang berkonsep rancak itu diharap berjaya mengekalkan jumlah tontonan yang sama di YouTube atau lebih lagi.

“Apabila single pertama mendapat sambutan yang tidak dijangka pastinya saya juga mengharapkan sambutan yang sama untuk single berikutnya.

“Namun, saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi tetapi akan terus berusaha untuk lebih fokus dalam bidang nyanyian kerana niat saya hanya satu mahu mengubah nasib keluarga. Saya adalah anak nelayan dan pastinya saya mahu berjaya dengan apa yang saya lakukan,” katanya.

Walaupun perkara itu kelihatan klise, Mucien mempunyai misinya sendiri dan tidak menyesal untuk fokus dalam bidang nyanyian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 4:31 AM