MARK sebagai juri jemputan Big Stage memohon maaf mengenai salah faham terbabit.
MARK sebagai juri jemputan Big Stage memohon maaf mengenai salah faham terbabit.
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan pelakon, Mark Adam memohon maaf atas keterlanjuran kata yang menyebabkan dia dikecam netizen selepas dituduh melakukan 'body shaming' atau mengeluarkan kenyataan yang menyentuh bentuk badan pengacara program Big Stage, Sherry Alhadad.

Mark ketika dihubungi berkata, dia belum sempat untuk selesaikan ayatnya dan itu menyebabkan salah faham dalam kalangan netizen.

"Saya tak sempat nak habiskan ayat saya dan tak bermaksud nak malukan Sherry. Dalam program yang berlangsung semalam (kelmarin), saya menyebut 'This opportunity is big, even the host is big' (Ini adalah peluang yang besar, malah pengacaranya pun besar) dan sepatutnya saya menyambung 'they have big heart and talent' (mereka ada hati yang baik dan bakat yang besar).

"Namun, saya tak salahkan mana-mana pihak, sebaliknya menyalahkan diri sendiri yang cuai. Ini adalah pengalaman pertama saya berhadapan situasi begini dan jadi pengajaran buat saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mark, dia yang juga berkawan rapat dengan Sherry sudah menghubungi pelakon dan pengacara popular itu.

"Saya menghubungi Sherry dan dia pun tidak terasa hati dengan kata-kata saya. Malah, dia bimbang jika kecaman netizen mengganggu saya.

"Saya sudah berkawan dengan Sherry agak lama dan memang begitulah cara kami bergurau. Cuma, mungkin ia tak sesuai untuk semua dan saya terlepas pandang dari skop yang lebih besar iaitu sudut pandangan penonton," katanya.

Dalam program itu, Mark sebagai juri jemputan di samping dua juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyanyi Indonesia, Cakra Khan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:09 PM