X
JOHAN Ishak
JOHAN Ishak
Ridzuan Abdul Rahman


BAGI memantapkan misi sebagai portal sehenti gaya hidup rakyat Malaysia, portal milik Media Prima Berhad, Xtra memperkenalkan Cantix, sebuah portal e-niaga yang menghimpunkan pelbagai variasi barangan selebriti bermula 23 Ogos 2019 menerusi laman sesawang www.cantix.com.my, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, menerusi era digital sekarang, penggunaan media sosial semakin berleluasa sehingga boleh dimanfaatkan sebagai platform niaga yang baik.

“Antara pengguna media sosial yang giat berniaga termasuk rakan-rakan selebriti yang terbabit dalam pelbagai jenis perniagaan, termasuk menjual barangan kosmetik, pakaian baru dan pre-loved (terpakai) serta melakukan ulasan produk.

“Justeru, Xtra melancarkan Cantix, sebuah platform khas untuk para selebriti berniaga secara profesional. Untuk sesi pengenalan, Cantix menyenaraikan 17 jenama selebriti dan dijangka bertambah sehingga hujung tahun kelak. Kami menyeru penyertaan lebih ramai selebriti di platform niaga atas talian www.cantix.com.my,” katanya dalam sidang media di Balai Berita NSTP, Bangsar, di sini, hari ini.

Johan berkata, Cantix bakal menjadi portal e-niaga interaktif pertama di Malaysia yang membenarkan penstriman langsung oleh selebriti termasuk ulasan produk khususnya ketika promosi jualan.

“Cantix menawarkan kemudahan sistem ‘dropship’ buat peniaga (selebriti). Barangan yang dipesan akan dihantar secara langsung ke lokasi pelanggan. Pelanggan boleh menjejak belian produk secara dalam talian sehingga produk tiba ke destinasi.

“Menerusi kemudahan pembelian yang mudah, pelanggan boleh membuat pilihan barangan, tambah ke troli pengguna dan melengkapkan transaksi pembayaran menggunakan kad kredit, debit atau perbankan dalam talian,” katanya.

Johan berkata, antara selebriti yang menyertai Cantix ialah Nora Danish, Nana Mahazan, Zoey Rahman, Scha Fadly, Datuk AC Mizal, Karl Shafek, Syed Dewa, Eika Azam dan Ejen Ali.

“Cantix mensasarkan sehingga lebih 40 selebriti pada hujung tahun ini. Selain itu, Cantix turut bekerjasama dengan beberapa rakan strategik dan menerusi usaha ini, Cantix dijangka dapat menambah penyertaan daripada selebriti luar negara, khususnya di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 7:43 PM