DIDIE Alias menyambut hari jadinya yang ke-46 di Port Dickson.
DIDIE Alias menyambut hari jadinya yang ke-46 di Port Dickson.


KEGEMBIRAAN pengacara Didie Alias menyambut ulang tahun ke-46 bertukar tragedi apabila jari manis tangan kanannya patah ketika bercuti di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Didie ketika dihubungi berkata, tangan kanannya tersangkut di salah satu pemegang bot yang dinaiki ketika bermain acara air di pantai terbabit.

“Kami sekeluarga bercuti di Port Dickson bagi meraikan ulang tahun kelahiran saya yang ke-46 baru-baru ini.

“Bagaimanapun, saya dapat ‘hadiah’ pada hari terbabit apabila jari manis patah dan pergelangan tangan kanan saya terpaksa disimen selama sebulan.” katanya.

Menurut Didie, pada mulanya dia menyangka hanya terseliuh namun ketika mendapatkan rawatan di hospital, doktor memaklumkan jarinya patah.

“Saya ke hospital selepas dua hari insiden itu berlaku. Saya ingat hanya terseliuh tetapi lama kelamaan semakin membengkak.

“Suami memeriksa keadaan tangan, saya tidak rasa apa-apa dan dia bawa saya berjumpa doktor pakar di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Selepas X-Ray doktor memaklumkan jari manis saya patah. Doktor beri dua pilihan iaitu melakukan pembedahan atau simen selama sebulan.

“Terima kasih kepada yang mendoakan dan bertanya keadaan saya. Walaupun pergerakan sedikit terbatas, saya gagah diri,” katanya yang kini berada di Sibu sempena Karnival Lefestour 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 6:18 PM