X
M NASIR minta penyanyi baru supaya tidak perlu takut untuk meminta lagu daripadanya. FOTO Intan Nur Eliana Zakaria
M NASIR minta penyanyi baru supaya tidak perlu takut untuk meminta lagu daripadanya. FOTO Intan Nur Eliana Zakaria
Ramlah Zainal


“KALAU artis baru itu berasa dirinya bagus, boleh datang minta lagu dengan saya,” kata penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir ketika ditanya kriteria artis baru yang mahu meminta lagu daripadanya.

Menurut M Nasir, memang ada beberapa penyanyi baru atau Budak Baru Nak Up (BBNU) yang memiliki bakat bagus ketika ini.

“Saya pernah beritahu memang ada beberapa penyanyi BBNU yang bagus tetapi tidak perlulah saya tonjolkan di sini.

“Artis baru juga tidak perlu takut untuk minta lagu daripada saya.

“Kriteria saya untuk artis baru minta lagu juga mudah, jika berasa diri bagus, datanglah berjumpa saya,” katanya.

M Nasir ditemui pada sidang media Konsert M Nasir Satu Hikayat - 40 Tahun Perjalanan di Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai konsert itu, kata M Nasir, ia sempena meraikan ulang tahun ke-40 dalam industri muzik tanah air.

“Konsert ini cukup istimewa kerana mengimbas perjalanan karier seni sejak empat dekad.

“Saya akan menyampaikan lebih 20 lagu popular daripada album pertama sampai sekarang,” katanya.

Konsert M Nasir Satu Hikayat anjuran Shiraz Projects Sdn Bhd itu bakal berlangsung jam 8.30 malam di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 23 November nanti.

Maklumat mengenai tiket layari www.myticket.asia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 8:12 PM