SAIFUL Apek mahu anak mempunyai ilmu sebelum melangkah masuk dalam bidang seni. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Ridzuan Abdul Rahman


PELAWAK Saiful Apek, 50, mendedahkan pernah melarang dua anaknya Mohd Riyadh Aslam, 24, dan Mohd Radzin Aiman, 21, menceburi bidang seni sekiranya belum mempunyai ilmu dan persediaan secukupnya.

“Suatu ketika dulu saya bercakap dengan mereka, kalau kamu belum cukup kenal diri sendiri, jangan duduk di barisan hadapan.

“Walau minat macam mana pun, kamu masih boleh duduk di barisan belakang tapi menghasilkan karya yang ‘sampai’ dan beroleh manfaatnya untuk diri sendiri.

“Contohnya Datuk Ahmad Nawab, dia hanya main saksofon dan bukan penyanyi tapi semua orang kenal. Maksudnya sampaikan kreativiti seni itu tapi bukan di barisan hadapan,” katanya kepada Harian Metro.

Apek atau nama sebenarnya Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff berkata, tanggungjawab berada di barisan hadapan sangat berat, namun dia tidak bertujuan menghalang anaknya meneruskan legasi seni apabila bersedia sepenuhnya.

“Saya bukan menghalang tapi nak bagi mereka faham. Alhamdulillah, mereka dah bersedia dan akan masuk bidang seni selepas ini.

“Anak sulung sekarang belajar di Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam.

“Manakala yang kedua, akan dimasukkan dalam akademi muzik kerana dia meminati muzik. Dalam elemen ini juga sebenarnya tiada unsur paksaan. Saya tak nak anak buat sesuatu yang mereka tak faham,” katanya.

Pelawak yang popular menerusi sitkom Senario dan pelbagai filem komedi itu berkata, dia mahukan anaknya mempunyai ilmu sebelum melangkah masuk dalam bidang seni.

“Seorang dalam filem dan animasi manakala seorang lagi dalam bidang muzik. Apabila mereka bergabung dengan saya nanti, tak perlu panggil orang lain lagi.

“Mereka akan menggerakkan syarikat keluarga kami. Contohnya seperti kumpulan KRU yang dianggotai oleh tiga beradik. Mana ada adik-beradik lain yang berjaya seperti mereka.

“Begitu juga keluarga Bell Ngasri, Opie Zami serta Aziz M Osman di mana berjaya menguruskan syarikat keluarga dengan baik,” katanya.

Apek berkata, dia mahu mencipta empayarnya sendiri dalam bidang seni bersama keluarga.

“Anak sulung bakal tamat belajar tahun depan dan saya akan mencarikan tempat untuknya menjalani latihan praktikal selama enam bulan. Dia bertanya saya mana organisasi yang paling bagus.

“Yang kedua pula, amat mengejutkan kerana berjaya menyiapkan dua lagu tanpa pengetahuan saya.

“Daripada A hingga Z semuanya dia buat sendiri merangkumi buat lirik, susunan lagu, rakaman dram, gitar serta vokal. Saya terkejut apabila mendengar hasilnya,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful Apek serta beberapa artis seperti Julia Farhana Marin dan Putra Amaris akan menjayakan Karnival Health Insurance Safety Conference & Expo 2019 (HISCE 2019) di Padang B, Plaza Angsana Johor Bahru pada 2 hingga 6 Oktober depan.

Program anjuran Klass Event Network itu menghimpunkan sektor keselamatan dan perlindungan di bawah satu bumbung untuk memberi kesedaran kepada masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 6:54 PM