SITI Nurhaliza bersama anaknya, Siti Aafiyah. FOTO Azhar Ramli
SITI Nurhaliza bersama anaknya, Siti Aafiyah. FOTO Azhar Ramli
Norhayati Nordin


“TIDAK ada istilah obses terhadap anak sebenarnya. Lagipun jika saya obses dengan Siti Aafiyah pun tidak mengapa kerana saya menunggu kehadirannya selama 11 tahun,” kata penyanyi tersohor tanaha air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 40, mengenai dakwaan segelintir netizen dia obses terhadap anaknya, Siti Aafiyah Khalid yang kini berusia 17 bulan.

Siti berkata, bukan selalu dia memuat naik foto dan video berkaitan anaknya di Instagram miliknya yang kini mempunyai 6.6 juta pengikut.

“Apa yang saya muat naik mengenai Aafiyah di Instagram atau YouTube kerana saya tidak mahu ketinggalan untuk mengabadikan saat-saat indah melihat dia membesar.

"Saya sibuk dengan pelbagai urusan kerja dan kadang-kadang perlu ke luar negara. Jadi, memang saya minta pengasuh Aafiyah merakam video aktiviti dia di rumah," katanya.

Siti berkata, netizen yang mendakwa dia sangat obses dengan anaknya mungkin lebih bernasib baik dan dikurniakan rezeki memiliki ramai anak.

"Apapun, sebagai selebriti dikenali masyarakat, saya sudah lali dengan segala kecaman sedemikian. Pada saya, perkara ini biasa dan tidak boleh dielak," katanya.

Selain Aafiyah, minat Siti terhadap aktiviti berbasikal juga menarik perhatian netizen di mana ada dalam kalangan mereka sanggup menyelidik harga tayar basikal digunakan termasuk jam tangan dipakai Siti.

Siti berkata, dia tidak sangka ada yang sanggup berbuat begitu. Namun, dia mengambil positif atas apa yang berlaku.

"Dalam hidup ini tidak boleh terlalu negatif. Namun, ingin dijelaskan apa saja peralatan diguna pada basikal saya semuanya inisiatif oleh suami yang begitu teliti pada semua aspek keselamatan.

"Mengenai harga tayar yang mahal itu, ia mampu dibeli kerana saya bekerja keras dalam kerjaya diceburi. Semua yang diperoleh itu tidak datang bergolek tanpa saya berusaha sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti turut mengajak orang ramai menyertai program Kayuhan Wanita 2019 Galak Hidup Sihat yang akan berlangsung pada 26 Oktober ini di Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 12:03 PM