SHARNAAZ dan Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017. FOTO instagram noornabila
Zaidi Mohamad & Sudirman Mohd Tahir


ISTERI pelakon popular Sharnaaz Ahmad iaitu Noor Nabila Mohd Noor, 35, mengesahkan dia sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya.

Bagaimanapun, Nabila yang juga kakak kepada pengacara dan pelakon popular Neelofa enggan mengulas lanjut perkara itu.

“Saya mengesahkan sudah memfailkan perceraian terhadap suami saya, Sharnaaz Ahmad. Buat masa ini, saya serahkan segala-galanya kepada mahkamah. Saya berharap, saya dan keluarga diberi ruang untuk melalui proses ini dengan sabar dan tenang,” katanya.

Nabila berkata, paling penting buat masa ini adalah masa depan anak mereka, Jebat Jayden, yang baru berusia setahun.

“Doakan kesejahteraan saya dan anak saya,” katanya.

Kisah rumah tangga pasangan terbabit kembali menjadi perhatian pada 29 Ogos lalu apabila sebuah portal menyiarkan artikel kononnya Nabila memfailkan perceraian terhadap Sharnaaz, 34, selepas berkongsi foto dipercayai Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta, di Instagram Story, baru-baru ini.

Nabila juga didakwa memuat naik status yang dikatakan menguatkan lagi spekulasi dirinya berdepan masalah rumah tangga.

Sharnaaz, 34, dan Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017.

Dalam pada itu, Sharnaaz menafikan menafikan dakwaan sikap panas baran dirinya menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.

Sharnaaz menjawab perkara itu selepas seorang pengguna Twitter dikenali sebagai Anis Khalidi memuat naik ciapan itu, semalam.

Wanita itu mendakwa sikap panas baran Sharnaaz antara punca timbulnya permasalahan dalam perkahwinan yang dibina.

“Cik Anis yang manis, semanis wajah namanya. Saya rasa awak telah menyelesaikan masalah rumah tangga saya dengan hanya satu kilas. Tahniah.

“Tapi, saya boleh jamin bukan soal baran yang menjadi masalahnya. Harap Cik Anis bahagia dunia akhirat,” tulisnya.

Komen balas Sharnaaz itu mendapat 89 tanda suka, 38 ulang ciap dan lebih 11 komen.

Kebanyakan komen yang ditinggalkan pengikut Sharnaaz mendoakan supaya pelakon filem Juvana itu bersabar.

Sementara itu, Sharnaaz yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 semalam turut memuat naik status di Instagram Story.

“Di tahun-tahun mendatang, saya akan sentiasa ingatkan diri apa yang pernah saya lakukan, pada waktu paling sukar dalam hidup iaitu sewaktu ulang tahun kelahiran saya,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Sharnaaz tidak bersedia untuk menjawab segala persoalan membabitkan rumah tangganya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 5:26 PM