SHARNAAZ bersyukur kerana ada keluarga yang sentiasa memberikan sokongan. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sudirman Mohd Tahir


“SAYA okey dan percaya setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Apa yang penting sekarang, fokus kami terhadap anak, Jebat Jayden,” kata pelakon popular, Sharnaaz Ahmad mengenai keputusan dibuat isterinya, Noor Nabila Mohd Noor yang sudah memfailkan perceraian.

Sharnaaz, 34, atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad berkata, dia reda jika perceraian adalah jalan terbaik buat mereka.

Sharnaaz berkata, dia cukup matang untuk berdepan situasi itu.

“Memandangkan dia sudah failkan perceraian, jadi nak cakap apa lagi. Saya ikut saja. Apa yang pasti, saya takkan bercakap buruk mengenai perkara ini. Lagipun, Nabila adalah ibu kepada anak kami.

“Walaupun saya bukan jenis yang berkongsi mengenai kisah peribadi, tapi saya akur dan perlu bersikap matang kerana ia sudah di bawah ke peringkat mahkamah,” katanya.

Menurut Sharnaaz, apa yang berlaku sekarang sentiasa akan diingat apatah lagi berdepan isu itu ketika sambutan hari jadinya ke-34 semalam.

“Di tahun-tahun mendatang, saya akan sentiasa ingatkan diri apa yang pernah saya lakukan, pada waktu paling sukar dalam hidup iaitu sewaktu ulang tahun kelahiran saya.

“Saya terima dugaan ini. Saya lelaki dan sentiasa tidak gentar menerima risiko dalam hidup,” katanya.

Bagaimanapun Sharnaaz bersyukur kerana ada keluarga yang sentiasa memberikan sokongan.

“Ibu bapa dan adik-beradik tidak pernah masuk campur dalam hal rumah tangga saya. Mereka yakin bahawa saya boleh menguruskannya dengan baik.

“Namun, mereka tidak akan biarkan saya bersendiri. Mereka sentiasa ada memberi sokongan moral dan kata-kata semangat untuk saya,” katanya.

Sharnaaz dan Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017. Mereka dikurniakan anak lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 6:24 PM