SYAFFIQ (kanan) dan Tash Yong. FOTO Mahzir Mat Isa.
Norhayati Nordin

MESKIPUN lebih lima tahun mencanai bakat dalam bidang lakonan, bukan mudah untuk Syaffiq Sahli dan Tash Yong mencipta populariti.

Walau sudah banyak drama dibintangi, nama dua pelakon berpotensi besar itu masih kurang dikenali.

Syaffiq pernah membintangi drama Asam Pedas Untuk Dia dan Dia di TV3 akur perlu berhadapan cabaran sengit memahat nama dalam industri seni tanah air.

“Kini makin ramai pelakon baharu yang punya pakej lengkap.

“Saya tidak berasa kecewa atau putus asa dengan situasi ini kerana sentiasa yakin dengan rezeki ditetapkan Allah.

“Setakat ini, walaupun nama saya tidak popular seperti beberapa pelakon lain, saya masih bersyukur kerana tawaran tetap ada,” katanya.

Syaffiq berkata, dia baru selesai menjalani penggambaran drama Hero 2 untuk RTM dan projek lakonan terkini pula adalah drama 60 episod berjudul Biar Jadi Kaktus di Astro.

Kata jejaka berusia 33 tahun itu, biarpun aktif sebagai pelakon, dia juga berniaga untuk jaminan masa depan.

Bagi Tash Yong pula, tidak ada jalan pintas untuk berjaya.

Puteri kepada komposer terkenal Rosli Selasih itu berkata, dia lebih rela berusaha sendiri.

“Ayah saya mungkin lebih dikenali dalam muzik dan saya pula aktif sebagai penari serta berlakon.

“Biarlah saya usaha sendiri. Lagi pun, saya sentiasa bersedia untuk menjalani sesi uji bakat lakonan diadakan pihak produksi.

“Bagi saya, lebih baik mencuba. Ada rezeki dapatlah tawaran berlakon, jika sebaliknya saya tidak mengeluh atau kecewa.

“Bagi saya, setiap kejadian itu ada hikmah,” katanya.

Tash Yong atau nama sebenar Nur Natasha Shazlia Rosli, 29, berkata, dia tidak pandai berebut.

“Banyak juga projek hilang bila ada yang main taktik kotor.

“Apapun, saya anggap tidak ada rezeki. Rezeki yang hilang itu pasti Allah ganti dengan yang baharu.

“Industri hiburan kita pun kecil jadi, tak perlu bergaduh sebab esok lusa akan jumpa balik orang yang sama,” katanya.

Tash Yong yang sebelum ini menyerlah dalam drama Menantu Ting Tong di TV3 bersama Ruhainies serta Azrel Ismail berkata, untuk popular, dia harus giat berusaha dan mungkin rezeki itu masih jauh.

Saling menyokong

Diuruskan oleh pengurus yang sama, Syaffiq dan Tash Yong saling membantu dan menyokong kerjaya masing-masing.

Apatah lagi mereka pernah bergandingan sebagai pasangan kekasih dalam drama.

Syaffiq berkata, kerjayanya lebih tersusun selepas ada pengurus.

“Saya suka dengan cara kerja Jijie. Dia pandai menguruskan kerja kami, senang dibawa berbincang dan tahu peranan tugasnya sebagai pengurus artis.

“Mulanya, saya sekadar mencuba dan ternyata selesa dengan Jijie.

“Dia sangat komited dan tenang orangnya,” kata Syaffiq.

Tash Yong pula menyifatkan Syaffiq pelakon yang bagus cuma perlu diuruskan oleh individu yang profesional.

“Semoga di bawah pengurusan Jijie, karier Syaffiq dan saya akan lebih teratur dan terjaga.

“Setakat ini Jijie melakukan tugasnya dengan baik.

“Apapun, terima kasih kepada peminat yang menyokong selama ini.

“Terutama kelab peminat Tash Yong Squad (TYS) kerana tak pernah jemu beri sokongan,” katanya yang bakal menjayakan drama terbaru slot Akasia TV3 tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 6:31 AM