KHAI tidak menentukan bayaran persembahan malah tidak berani berurusan dengan penganjur secara langsung. FOTO Nurul Shafina Jemenon
KHAI tidak menentukan bayaran persembahan malah tidak berani berurusan dengan penganjur secara langsung. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENYANYI, Khai Bahar, 25 menafikan mengenakan bayaran belasan ribu ringgit bagi setiap persembahan yang dijayakannya.

Pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin itu berkata, dakwaan yang dibuat terhadapnya itu tidak benar sama sekali.

Dia yang kini berada di Kuala Terengganu bagi menyertai Selebriti Toyota Gazoo Racing musim ketiga menegaskan, bayaran untuk mendapatkan perkhidmatannya adalah berpatutan.

"Bermula 2016, semua caj atau urusan bayaran ditentukan pengurus. Sepanjang bergelar anak seni, bukan saya menentukan bayaran malah tidak berani berurusan secara langsung," katanya.

Anak jati Kampung Padang Katong, Perlis itu memberitahu, dia hanya menjayakan undangan sebaik diatur oleh pengurusnya.

"Saya memang tak ambil pusing bab bayaran, semuanya pengurus," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Khai mengulas teguran Bandi Amuk baru-baru ini bahawa artis baharu atau Budak Baru Nak Up (BBNU) bersifat sombong malah tidak menegur penyanyi veteran sekiranya bertemu dalam penganjuran program.

Selain itu Bandi mengherdik sikap penyanyi baharu yang mengenakan bayaran terlalu tinggi untuk menjayakan undangan nyanyian.

Bandi meminta artis baharu tidak terlalu 'demand' dan ikhlas dalam persembahan, selain menasihatkan mereka mengukur baju di badan sendiri.

Khai dalam pada itu menyambut baik teguran yang dibuat penyanyi otai berkenaan kerana ia nasihat untuk kebaikan semua.

"Bagi saya teguran itu tak salah, dia cuma beri nasihat dan ia akan diambil iktibar pada masa akan datang," katanya.

Khai memulakan karier sebagai penyanyi selepas bakatnya dikongsi bersama peminat menerusi aplikasi Smule.

Sehingga tahun ini, penyanyi itu sudah memiliki 15 single termasuk lagu hit berjudul Bayang.

Khai juga memenangi pelbagai anugerah termasuk Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 6:03 PM
Digital NSTP Subscribe