BABY Shima.
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Baby Shima mengakui tidak tahu menahu mengenai babak drama dimasukkan dalam bahagian akhir video muzik lagu barunya, Pura Pura Bujang, yang dikaitkan dengan isu curang Aliff Aziz.

Menurut Shima, video muzik itu adalah arahan Eric Fuzi dan dia sendiri pun pertama kali menonton babak drama berkenaan ketika menonton hasil terakhir pembikinannya.

“Saya sendiri pun terkejut bila tonton ada babak drama di bahagian akhir lagu Pura Pura Bujang. Itu mungkin idea Eric sendiri selaku pengarah.

“Saya pun tak tahu ‘Aliff’ mana yang dimaksudkan. Tapi, dalam ruangan komen, ramai warganet kaitkan dengan individu tertentu,” katanya kepada Harian Metro.

Sejak dimuat naik di YouTube pada Selasa lalu, video muzik lagu ciptaan Ezra Kong dan Mimifly itu sudah ditonton lebih 1.5 juta tontonan.

Menurut Shima, dia sendiri tidak menjangkakan sambutan sehebat itu.

“Saya sendiri pun tak jangkakan yang video muzik Pura Pura Bujang akan ditonton sebanyak itu dalam masa yang sangat singkat.

“Alhamdulillah kerana nampaknya ia diterima baik oleh peminat,” katanya.

Lagu itu adalah projek khas bersama MVM Music dan hanya dihasilkan untuk pasaran Malaysia.

Terbaru, Shima bakal melancarkan single khas untuk pasaran Indonesia berjudul Sakit yang akan dilancarkan pada penghujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 10:28 PM