X
SUFIAN bersama Amira Othman melancarkan lagu duet Takkan Merubah. FOTO Nurul Syazana Roase Razman
SUFIAN bersama Amira Othman melancarkan lagu duet Takkan Merubah. FOTO Nurul Syazana Roase Razman
Ramlah Zainal

LAGU Dimatamu sentuhan komposer Sirkhan dan Rinkarnaen berjaya melonjakkan nama Sufian Suhaimi sekali gus mencetuskan fenomena di persada hiburan tanah air.

Sebagai penyanyi, Sufian, 27, perlu mencari kelainan dalam setiap persembahannya untuk terus bertahan dalam industri hiburan.

Terbaru, Sufian terbabit dengan projek lagu duet Takkan Merubah bersama Amira Othman. Ia dicipta Farouk Roman dan Amylea Azizan.

Lebih bermakna, lagu duet itu dipilih menjadi runut bunyi filem Motif yang bakal ditayangkan bermula 26 September ini.

Sufian berkata, dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran projek lagu duet itu.

“Saya memang menanti peluang untuk bekerjasama dengan Farouk dan Amylea kerana gandingan mereka memiliki kekuatan tersendiri. Pada masa sama, saya juga baru kali pertama berduet dengan Amira dalam projek istimewa yang diatur pengurusan kami ini,” katanya.

Bercerita mengenai proses rakaman lagu itu, Sufian berkata, dia turut berdepan cabaran tersendiri ketika merakamkan lagu itu pada 19 Ogos lalu.

“Ini kali pertama saya berduet dengan Amira dan proses rakaman mengambil masa lebih kurang lapan jam untuk disiapkan. Ia mengambil sedikit masa kerana ‘range’ vokal saya dan Amira berbeza. Mujur Amira mudah untuk bekerjasama dan masing-masing memberikan idea yang positif bagi menghasilkan melodi dan gabungan suara yang menarik.

“Apapun, saya melihat cabaran itu dari sudut positif kerana setiap komposer mempunyai cara tersendiri untuk memastikan lagu duet dirakamkan memberikan kepuasan kepada peminat saya dan Amira,” katanya.

Mengenai lagu runut bunyi filem Motif pula, kata Sufian, dia menganggap tawaran menyanyikan lagu duet itu adalah peluang yang memang dinantikan selama ini.

“Saya tidak kisah menyanyi lagu runut bunyi filem kerana ia menjadi lagu runut bunyi filem Motif lakonan idola saya iaitu Datuk Rosyam Nor dan Sharifah Amani.

“Saya memang membesar dengan menonton filem lakonan Rosyam sejak dulu. Justeru, tawaran menyampaikan lagu itu adalah penghargaan dalam karier seni saya,” katanya.

Pada masa sama, Sufian juga yakin dengan sentuhan magis Farouk dan Amylea untuk menjadikan lagu itu mampu menghidupkan lagi filem Motif.

Amira timba pengalaman menarik

Sebagai penyanyi, Amira juga tidak mahu melepaskan peluang berduet dengan Sufian menerusi lagu itu.

Menurut pemilik nama sebenar, Nadia Amira Othman, 26, ini, selain gandingan duet kali pertama dengan Sufian, ia juga kali pertama dia menimba pengalaman bekerja dengan komposer Farouk dan Amylea.

“Pada mulanya, saya difahamkan pihak pengurusan bakal berduet dengan penyanyi wanita tetapi akhirnya digandingkan dengan Sufian.

"Walaupun ia kerjasama pertama menerusi projek lagu duet ini, kami juga sudah kenal lama dan sering berjumpa dalam majlis hiburan sebelum ini,” katanya.

Amira berkata, dia dan Sufian banyak berbincang untuk memberikan hasil terbaik ketika proses rakaman lagu itu.

“Kami juga sudah berusaha memberikan yang terbaik seperti dikehendaki komposer walaupun ada perbezaan dari 'range vocal'. Bukan saja lagu duet ini, saya juga menaruh harapan tinggi semoga filem Motif juga mendapat sambutan baik,” katanya.

Ditanya sama ada dia mahu berduet dengan Sufian lagi, Amira tidak menolak.

“Buat masa ini, kami mahu melihat sambutan peminat pada lagu ini dulu. Jika projek lagu duet ini berjaya dan diterima peminat, kami mempertimbangkan untuk menghasilkan projek lagu baharu dan mungkin genre lain pula,” katanya.

Muzik video Takkan Merubah juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music dan Aries Music.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 6:45 AM
Kabinet Malaysia 2020