ANTARA babak dalam Wira.

MENYIMPAN segunung impian untuk menembusi tembok industri perfileman Hollywood, Hairul Azreen berharap filem Wira lakonannya yang bakal ditayangkan pada 21 November depan menjadi titik permulaannya.

Hairul yang membawa watak Hassan dalam filem arahan Adrian Teh mengakui sudah lama memendam angan-angan untuk ke Hollywood tetapi memilih untuk mendiamkan diri.

Hairul juga mencuba sehabis baik menunjuk kemampuannya dalam melakonkan babak aksi dan pertarungan sekali gus menjadi batu loncatan untuk ke Hollywood.

“Selama ini saya tak dapat nak kongsikan kelebihan yang saya boleh buat, namun untuk filem Wira banyak 'skill' pertarungan dan aksi tangkas saya keluarkan.

“Selepas filem Paskal, saya lihat laluan kerjaya lakonan saya semakin cerah apabila banyak menerima peluang terutama daripada Adrian. Wira adalah filem idaman saya selepas beberapa tahun bergelar pelakon. Tambahan pula, saya boleh bersuara dan memberikan idea untuk babak aksi dalam filem itu.

“Produksi filem ini juga tidak kisah untuk mengeluarkan bajet tinggi selain memberikan sepenuh sokongan untuk setiap pelakon menjalani latihan sebelum memulakan penggambaran,” katanya.

Walaupun namanya belum dinobatkan sebagai pelakon terbaik dalam mana-mana majlis penganugerahan, Hairul tidak pernah mengambil pusing sebaliknya apa yang lebih penting membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.


ADRIAN (kanan) bersama barisan pelakon, Hairul (dua dari kanan), Fify Azmi serta Henley Hii selepas sidang media filem Wira, baru-baru ini. FOTO Syakirah Azhar

“Dulu saya pernah tanya Adrian, apa dia nak capai dalam hidupnya? Jawapan yang diberikan amat mengejutkan iaitu dia nak orang luar pandang tinggi terhadap industri perfileman di Malaysia dan menghasilkan filem terbaik.

“Adrian berkata, jika filem yang dibawakan itu bagus pasti anugerah akan menyusul nanti. Sejak itu, saya sudah tidak fikir mengenai anugerah.

“Namun, antara sebab saya berlakon adalah untuk ke Hollywood. Saya mahu mewakili Malaysia sebagai pelakon aksi yang berkebolehan untuk menjayakan babak pertarungan. Boleh dikatakan hampir setiap negara Asia mempunyai pelakon aksi yang berjaya ke pentas Hollywod, jadi saya pun nak harumkan nama Malaysia,” katanya.

Menurut Hairul, dia juga tidak menyangka sejak membintangi Paskal, ramai pelakon antarabangsa mula mengikutinya di Instagram.

“Antara yang paling mengejutkan saya adalah pelakon aksi yang membintangi filem John Wick 3, Mark Dacascos. Selain itu, ada juga beberapa pelagak aksi terkenal Hollywood yang turut mengikuti saya di Instagram.

“Tanpa saya sedar ramai sudah mula perasan kelibat saya membawakan watak aksi dalam setiap filem yang dilakonkan. Saya berharap filem Wira akan membuka mata orang luar sekali gus dapat merealisasikan impian saya ke Hollywood,” katanya.

Hanis Zalikha faham kerjaya Hairul

Walaupun sering mengalami kecederaan ketika menjalani penggambaran, Hairul bersyukur dikurniakan suri hidup, Hanis Zalikha yang memahami minat mendalamnya terhadap aksi lasak ngeri dalam lakonan.

Hairul yang memulakan kerjaya dalam bidang lakonan sebagai pelakon lagak ngeri berkata, pada awalnya Hanis risau dengan keadaan dirinya yang sering terdedah dengan bahaya dan kecederaan ketika membintangi filem dan drama aksi.

Namun, lama-kelamaan Hanis memahami tuntutan tugasnya untuk melakukan aksi lasak dalam sesebuah filem yang dilakonkan.

"Ketika kami kenal, Hanis sudah tahu saya orangnya macam mana. Bayangkan, sebelum ini saya berada di tengah laut tanpa sebarang rangkaian telekomunikasi, saya tidak tahu apa yang terjadi di rumah dan begitu juga dengan Hanis.

“Isteri mana yang tidak risau, tapi lama kelamaan dia faham apa yang saya lakukan itu bersebab. Hanis tahu dengan kerja serta bidang yang saya minat ini. Dia isteri yang memahami suaminya,” katanya.


ANTARA babak dalam Wira.

Ketika penggambaran Wira pada Ramadan lalu, Hairul sekali lagi terbabit dengan kemalangan.

“Kecederaan itu berlaku selepas saya selesai bersahur dan keletihan. Ada satu babak yang memerlukan saya terjun dan itu menjadi punca kepada kecederaan di bahagian kaki.

“Walaupun sering mengalami kecederaan, namun ia adalah satu kepuasan buat saya apabila melakonkan sendiri aksi lasak dan tidak menggunakan pelagak aksi ngeri.

“Saya menjadikan Jackie Chan dan Tom Cruise sebagai idola kerana melakukan babak aksi sendiri walaupun ada disediakan pelagak aksi ngeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 7:45 AM