PUTRA Amaris sudah tiada kaitan lagi dengan ahli perniagaan yang menjalankan aktiviti pelaburan dalam talian. FOTO Arkib NSTP


PELAKON Putra Amaris terkilan apabila terus diburu beberapa individu yang menyangka dirinya terbabit dalam aktiviti perniagaan wang pelaburan dalam talian.

Putra Amaris atau nama sebenarnya Amran Ismail berkata, salah faham terbabit timbul apabila dia pernah bekerja dengan seorang ahli perniagaan terkenal yang menjalankan perniagaan itu.

“Saya sudah tiada kaitan lagi dengan ahli perniagaan itu. Malah saya juga tidak terbabit dengan sebarang perniagaan wang pelaburan dalam talian.

“Saya akui ramai yang mencari bertanyakan hal itu. Malah ada yang mengugut mahu mencederakan sedangkan saya tidak tahu apa-apa mengenai status perniagaan itu,” katanya.

Menurut Amaris, dia berharap mana-mana individu yang memburunya berhenti berbuat demikian supaya dia bebas meneruskan kehidupan.

“Saya jadi takut apabila sering menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang meminta duit mereka.

“Saya tiada kena-mengena dan sekali lagi jelaskan tidak tahu apa-apa. Saya mohon anda berurusan dengan ahli perniagaan itu.

“Jangan ganggu atau kaitkan saya dalam hal ini. Saya mahu menjalani kehidupan seperti manusia biasa tanpa bermusuh dengan mana-mana orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 4:08 PM