KHAI terima tawaran berlakon sebagai cabaran dan satu penghormatan. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI popular, Khai Bahar berdebar untuk memulakan penggambaran drama sulung lakonannya, Duet: Satukan Rasa pada Isnin depan.

Khai, 25, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, dia akan cuba memberikan yang terbaik mengikut kehendak skrip dan pengarah.

“Saya baru selesai mesyuarat dengan pengarah yang turut membabitkan kru dan pelakon lain. Diakui, sangat berdebar sebab ini kali pertama saya berlakon dan diberikan watak utama.

“Ia tanggungjawab besar sebenarnya bagi pelakon baru seperti saya yang tidak ada asas dalam bidang ini. Cuma, saya beruntung apabila Kak Nana (Siti Nordiana) ada bersama. Jadi, saya boleh minta tunjuk ajar.

“Namun, saya terima tawaran ini sebagai cabaran dan satu penghormatan. Insya-Allah, saya akan cuba sehabis baik,” katanya kepada Harian Metro.

Khai berkata, dia juga sudah bersedia menerima segala kritikan daripada penonton apabila drama itu ditayangkan pada November depan.

“Apabila bersetuju untuk berlakon, ini bermakna saya juga perlu bersedia dengan apa saja maklum balas nanti. Positif atau negatif, saya akan terima. Lagi pula ia pandangan setiap orang.

“Dalam masa sama, saya ingin menjadikan setiap komen itu sebagai alat untuk memperbaiki diri. Tak bolehlah nak komen baik semua kan?,” katanya.

Menariknya, drama terbitan Suhan Movies itu turut menjadikan lagu Satukan Rasa hasil ciptaan Khai dan Nana serta lirik oleh Iman Imran sebagai lagu tema.

Selain Khai dan Nana, pelakon lain yang terbabit adalah Nine (Billy Zulkarnain), Yusof Bahrin, Raja Azmi dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 7:02 PM