APRENA cipta nama menerusi drama Tiada Arah Jodoh Kita.
Ramlah Zainal


PELAKON Aprena Manrose, 25, menafikan dakwaan sengaja merahsiakan status sudah berkahwin daripada pengetahuan peminat.

Mencipta nama menerusi drama Tiada Arah Jodoh Kita, Aprena mengakui ramai netizen masih mempersoalkan status dirinya kerana tidak tahu dia sudah mendirikan rumah tangga.

“Ada netizen tidak percaya saya sudah berkahwin dan tidak kurang menuduh saya sorok suami.

“Hakikanya, saya bukan sorok tetapi tidak suka memuat naik gambar bersama di Instagram.

“Bagi saya ia sisi peribadi yang tidak perlu dikongsi dengan peminat di laman sosial,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai rumah tangganya pula, kata Aprena, dia dan suami, Mohd Afiq Hazman hidup bahagia sejak tiga tahun lalu.

“Suami bekerja sendiri dan selalu menemani saya di rumah jika saya tiada penggambaran drama atau filem.

“Apa yang penting suami merestui pembabitan saya dalam bidang lakonan dan sebagai isteri saya tahu jaga batas,” katanya. saya juga tahu menjaga batas sebagai isteri,” katanya.

Ditanya soal anak pula, Aprena berkata sudah lama dia bersedia dan sedang berusaha ke arah itu.

“Maklumlah sudah tiga tahun kami berkahwin dan kalau boleh mahu dapat anak tahun ini.

“Kami merancang berjumpa doktor dan membuat pemeriksaan kesuburan pada hujung tahun ini.

“Doakanlah semoga kami dikurniakan zuriat tidak lama lagi,” katanya.


APRENA bersama suami, Mohd Afiq. FOTO: Instagram Aprena

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 3:12 PM