NANA sayangkan peminat seperti sayangkan anaknya, Rayyan. FOTO Surianie Mohd Hanif
Norhayati Nordin


PENYANYI dan pelakon popular, Siti Nordiana Alias mengakui lebih selesa membahasakan diri dengan panggilan 'mader' (mother) dalam kalangan peminatnya.

Siti Nordiana atau Nana, 35, berkata perkataan 'mother' atau ibu itu sememangnya sangat sesuai buat dirinya kerana status dan sikap seorang 'mak mak'.

"Saya sangat selesa dipanggil dengan gelaran ‘mader’ dalam kalangan peminat kerana hubungan dijalin lebih mesra dan rapat.

"Ini membuatkan secara tidak langsung peminat saya itu umpama anak sendiri. Sebagaimana saya sayangkan Rayyan, begitu juga sayang saya pada mereka (peminat).

"Apatah lagi, dengan panggilan ‘mader’ ini pastinya hubungan dijalin antara kami lebih dekat dan tidak wujud jurang ketara," katanya.

Nana yang kini popular dengan lagu duet Satukan Rasa bersama penyanyi Khai Bahar berkata, dia juga seronok apabila rakan sesama selebriti turut memanggilnya ibu.

"Saya pun sebenarnya tak sangka perkataan ‘mader’ ini boleh melekat dalam kalangan peminat serta rakan selebriti juga.

"Ia sekadar suka-suka tetapi Alhamdulillah, nampaknya terus melekat. Apapun, saya tak kisah dipanggil ‘mader’ oleh mereka.

"Ibu adalah insan paling penyayang dan penuh kasih sayang. Jadi, teruskan saja memanggil saya ‘mader’ asalkan anda semua gembira dan bahagia," katanya.

Menurut pelakon drama Dia Semanis Honey itu, dengan panggilan ‘mader’ berkenaan terus menyuntik semangatnya untuk melindungi peminat yang umpama anaknya.

Sehubungan itu, akaun Instagram (IG) Nana kini diikuti 3.4 juta pengikut yang kebanyakannya berumur, seusia dan lebih muda daripadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 3:38 PM