TUAN Asri (empat kanan) dan Khai Bahar (lima kiri) beramah mesra bersama pengunjung Pasar Keramat sempena promosi wajah baru Harian Metro. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI popular, Khai Bahar memeriahkan aktiviti promosi wajah baru Harian Metro di Pasar Keramat, Kuala Lumpur, hari ini.

Khai, 25, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, dia begitu teruja untuk turut serta sekali gus menjadi pengalaman pertamanya.

“Sejujurnya, ini pengalaman pertama saya menjual surat khabar. Jadi, apabila diberi peluang ini, saya berasa sangat teruja. Memang seronok juga.

“Tapi, bukan mudah sebenarnya nak menarik orang untuk beli. Kita kena ada skil. Saya tabik pada mereka yang terbabit dalam aktiviti mempromosikan sesuatu produk.

“Saya puji pihak Harian Metro mengadakan aktiviti ini kerana ia dapat mengeratkan lagi silaturahim semua pihak. Kerjasama semua yang terbabit menjadikan aktiviti ini sukses,” katanya kepada Harian Metro.

Pembabitan Khai yang popular menerusi lagu Luluh itu juga sekali gus menjadikan dia sebagai Ikon Harian Metro pertama sempena wajah baru Harian Metro yang diterbitkan secara rasmi hari ini.

Selain Khai, aktiviti yang bermula seawal jam 8 pagi itu, turut disertai Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein; Ketua Pegawai Operasi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Yushaimi Maulud Yahya; pengurusan kanan NSTP, pengarang dan kakitangan sokongan Harian Metro.

Sempena wajah baru itu, setiap pembelian akhbar diberikan sebungkus nasi lemak dan minuman botol Yeos secara percuma.

Menariknya juga, aktiviti itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 50 peminat Khai yang terdiri daripada ahli Khai Bahar Empire (KBE).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 4:01 PM