BERDIKARI tentukan hala tuju muzik dengan menulis dan menerbitkan lagu sendiri.
Oleh Georgie Joseph

BERGELAR anak seni menuntut fokus yang tinggi selain perlu bijak mengemudi kerjaya yang dipilih itu agar terus kekal relevan.

Bagi penyanyi dan penulis lagu Jeremy Zucker, 22, tidak sukar untuknya mencari hala tuju muziknya. Bahkan dia yakin dengan caranya mengendali kembara seninya.

Bintang kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu percaya berdikari adalah elemen penting dalam mencari kesempurnaan. Bukan sahaja dalam soal muzik bahkan meningkatkan kreativiti dalam dirinya.

“Tidak susah bagi saya untuk menentukan muzik saya. Mungkin kerana saya menulis dan menerbitkan sendiri lagu. Boleh dikatakan semua perkara saya buat sendiri.

“Ramai artis berdepan kesukaran untuk menetapkan hala tuju kerana mereka hanya menyanyikan lagu yang dibuat orang lain. Mereka juga tiada kuasa untuk menentukan bagaimana muzik mereka.

“Saya mengawal sepenuhnya nilai estetika muzik dan sesuka hati menentukan bunyi yang saya mahu,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Penyanyi comethru itu juga tidak meletakkan genre tertentu terhadap lagu ciptaannya. Baginya, jika meletakkan fokus hanya pada satu genre, cara itu kurang berkesan buat perkembangan anak seni.

Dia percaya setiap artis harus dihormati tanpa perlu melihat apa genre muzik mereka. Disebabkan itu dia tidak mengehadkan genre dalam penghasilan muzik.

“Saya rasa cara paling tepat untuk menggambarkan genre seseorang artis adalah dengan menggambarkan artis itu sendiri. Biarlah mereka dikenali disebabkan bunyi yang mereka hasilkan.

“Kalau bercakap soal genre, ia sangat luas. Apa itu rock? Apa itu hip hop? Terlalu banyak elemen dalam kategori berkenaan dan kita tidak boleh cakap seorang artis kedengaran sama seperti artis lain.

“Pendapat setiap orang berbeza dalam mendefinisikan genre. Lebih tepat kalau kita cakap seseorang artis mengambil inspirasi daripada artis lain tanpa perlu menyamakannya,” katanya.

Ketika awal pembabitannya, Jeremy menjadikan band Blink 182 dan Mac Miller sebagai sumber inspirasinya dalam menerbitkan lagu sendiri.


JEREMY lebih suka terbit muzik sendiri.

Bagaimanapun, ia cuma inspirasi untuk aspek teknikal. Selebihnya, dia bekerja keras untuk melakar muziknya sendiri.

“Sekarang Mac Miller lebih banyak mempengaruhi saya berbanding Blink 182. Namun begitu, mereka mempengaruhi muzik saya secara langsung ketika awal pembabitan dulu.

“Blink 182 memberikan inspirasi saya untuk belajar bermain gitar dan mula menulis lagu. Saya banyak merujuk lagu mereka sewaktu belajar main gitar dan pada masa sama cuba mainkannya dengan cara sendiri.

“Daripada situlah saya mula berkarya berdasarkan struktur cara penulisan lagu mereka. Manakala, Mac Miller pula sangat mengagumkan saya daripada segi produksi sehinggakan saya pernah teringin menjadi penyanyi rap sepertinya,” katanya.

Penyanyi otak geliga

Menariknya mengenai Jeremy, dia lulusan Ijazah Sarjana Muda Biologi Molekul dan sangat meminati sains. Meski keluarganya mementingkan pendidikan, Jeremy berkata, kejayaan yang diraih itu adalah atas usahanya sendiri.

“Keluarga memang menitikberatkan pendidikan tetapi tidaklah sampai saya kena marah jika dapat gred rendah. Sebenarnya, saya yang sentiasa mencabar diri untuk melakukan yang terbaik dalam akademik.

“Sewaktu berada di sekolah tinggi, saya menyanjung tinggi seorang guru sains sehingga tertarik untuk mendalami subjek itu.

“Apabila masuk kolej, saya putuskan untuk mengikuti jurusan biologi. Namun, pada masa sama saya bermain muzik. Saya belum terfikir untuk kembali ke dunia sains kerana muzik bagi saya lebih tepat,” katanya.

Jeremy berkunjung ke Malaysia buat julung kalinya bagi mempromosikan muziknya dan turut singgah ke beberapa negara Asia Tenggara lain.

Menerusi kunjungan ini, Jeremy menghiburkan lebih 700 peminat dengan rangkaian lagu popularnya iaitu All The Kids Are Depressed, Somebody Loves You, Thinking About You, Thinking Too Much dan Heavy.

Selain itu dia turut menyampaikan lagu Better Off, Country Roads, Take Me Home, Oh Mexico, Desire, Wildfire, comethru, Talk Is Overrated dan Ghost.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:15 AM