ISSEY jadi mangsa salah faham kerana wajah hampir mirip dengan lelaki yang terbabit memukul bekas isteri dan bekas bapa mentuanya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Syafil Syazwan Jefri


GARA-GARA punya wajah hampir mirip, pelakon, pengacara dan penyampai radio, Issey Fazlisham dikecam kerana ada beberapa individu salah faham menganggap dia adalah lelaki yang tular kerana isu kekerasan rumah tangga baru-baru ini.

Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin, 32, berkata, dia bukanlah individu itu dan tidak ada kena mengena dengan isu rumah tangga lelaki terbabit.

"Tolonglah. Ini bukan saya. Ramai yang 'tag' saya di Instagram. Saya tak ada kena mengenai dalam hal rumah tangga individu ini," tulisnya di Instagram.

Tidak hanya disamakan oleh warganet, ada juga individu yang mengeluarkan kata-kata kasar dan mengajak orang ramai supaya menghalaunya keluar dari negara ini.

"Yang pukul isteri dan mentua itu orang lain. Bukan saya. Jangan maki saya. Siap nak halau saya keluar dari Malaysia," katanya.

Issey ketika dihubungi meminta supaya warganet tidak terlalu mudah percaya sesuatu dengan hanya melihat gambar dan membaca tajuk cerita.

"Kadang-kadang, orang kita malas membaca. Mereka baca tajuk dan lihat gambar, kemudian buat andaian sendiri. Dari situlah muncul berita yang tidak betul," katanya.

Dalam pada isu itu dilihat agak serius dan menegangkan oleh Issey, ramai rakan selebriti yang sempat meninggalkan komen lucu untuk mengurangkan tekanan Issey.

Secara keseluruhan, dua muat naik yang dikongsikan Issey di Instagramnya menerima lebih 34,000 tanda suka (like) dan respons daripada warganet.

Terdahulu, tular di media sosial dan portal berita mengenai video lelaki yang dipercayai bergelar doktor memukul bekas isteri dan bekas bapa mentuanya kerana isu dalam rumah tangga mereka.

Terbaru, Issey kini sedang menjalani latihan untuk pementasan Makyung Raja Besar Maha Gading yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 11 hingga 13 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 4:17 PM