FIKRY akan meluangkan masa dua hari untuk menjalani latihan bagi memperbaiki tunggangan jet ski. FOTO Instagram Fikry Ibrahim


MESKIPUN sukan air jet ski dikenali antara sukan berbahaya dan berdepan risiko kecederaan tinggi, pelakon Fikry Ibrahim menjelaskan ia dapat dielak melalui latihan dan teknik yang betul.

Fikry berkata, dia yang mula berjinak dalam sukan air itu sekitar tiga bulan lalu tidak menyangka berjaya mengharungi sukan lasak itu menerusi beberapa pertandingan disertainya baru-baru ini.

"Persediaan dari segi mental, fizikal dan kemahiran sangat penting bagi memastikan tunggangan jet ski dilakukan secara sempurna supaya tidak membahayakan diri sendiri ataupun pelumba lain.

"Walaupun sudah menyertai dua kejohanan tapi perasaan gerun dan kecut perut itu masih ada. Tapi ia tidak melemahkan semangat saya,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya dia mengakui gementar untuk menyertai sukan air itu kerana bimbang terbabit dengan kemalangan tapi dia percaya hasil latihan yang intensif akan membantunya menunggang jet ski dengan baik.

"Setiap minggu saya akan meluangkan masa dua hari untuk menjalani latihan bagi memperbaiki tunggangan jet ski dan memahirkan diri. Saya ingin berterima kasih kepada jurulatih Tarmizi, Fitri dan Naza yang banyak membantu.

"Tidak dinafikan saya dengar banyak cerita daripada pelumba mengatakan ada yang patah tulang rusuk, patah tangan dan kaki akibat tidak dapat melihat ketika arus ombak kuat. Malah ramai juga yang tercampak daripada jet ski ditunggang ketika perlumbaan.

"Jadi setiap kali menyertai sebarang pertandingan saya akan pastikan fizikal dan mental sudah bersedia. Malah saya juga sangat menitikberatkan kelengkapan wajib yang perlu dipakai supaya tidak terdedah dengan sebarang kecederaan serius ," katanya.

Sebelum ini, Fikry menyertai perlumbaan Terengganu Jet ski Challenge yang diadakan di Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun dan Desaru International Bike Week, Johor baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 6:59 PM