CHARIS harap lagu Mahal dapat membantu orang ramai bangkit semula daripada kemurungan dan tekanan jiwa. FOTO Syafil Syazwan Jefri
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Charis Ow mengajak masyarakat supaya tidak memandang ringan mengenai isu berkaitan tekanan jiwa dan kemurungan yang melanda ramai orang pada hari ini.

Charis menggunakan lagu baru dilancarkan berjudul Mahal sebagai medium untuk membantu mereka yang berdepan kemurungan.

"Mungkin ramai yang tidak nampak bahaya kemurungan dan tekanan jiwa. Saya sendiri ada beberapa kenalan yang pernah berdepan situasi ini dan ia adalah satu isu serius.

"Menerusi lagu ini, saya harap ia dapat membantu orang ramai bangkit semula dan melakukan sesuatu yang positif untuk kehidupan mereka," katanya kepada Harian Metro.

Charis, 28, berkata, dia sendiri pernah berdepan saat yang sukar, namun menemui kekuatan untuk bangkit semula.

"Saya tak pernah berdepan kemurungan, tapi berpengalaman berdepan saat sukar dalam kehidupan. Namun, saya fikir secara positif dan lakukan sesuatu untuk kebaikan diri sendiri," katanya.

Mahal adalah karya hasil ciptaan tiga komposer iaitu Omar K, John Jeeves dan Ikhwan Fattana serta turut menampilkan penyanyi rap yang juga pendatang baru, Loca B.

Lagu berentak pop itu mula dilancarkan secara rasmi bermula hari ini serentak dengan pelancaran video muziknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:08 PM