RAJA Ilya dan Trent Garrett merancang untuk ke Amerika Syarikat mengembangkan bakat lakonan. FOTO Instagram Raja Ilya
Ramlah Zainal


SELEPAS sembilan bulan berkahwin, pelakon Raja Ilya mengakui dia terpaksa menangguhkan dulu hasrat untuk mendapatkan cahaya mata dalam tempoh dua tahun lagi.

Menurut pemilik nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 34, buat masa ini, dia mahu fokus pada bidang lakonan termasuk mengembangkan bakatnya ke luar negara.

“Maklumlah, selepas selesai kursus pendek lakonan di Akademi Seni Australia Barat (WAAPA) di Perth, suami memang mahukan saya teruskan karier lakonan yang diceburi sejak dulu.

“Suami memang beri galakan sepenuhnya untuk saya mencari peluang berlakon di luar negara ketika ini,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia juga sempat menghadiri proses uji bakat untuk Channel ABC ketika di Perth, Australia sebelum ini.

“Saya dan suami juga merancang untuk ke Amerika Syarikat pula pada tahun depan dan pada masa sama mencari peluang berlakon di sana,” katanya.

Ditanya soal anak pula, kata Raja Ilya, jika diikutkan ibu mentuanya memang tidak sabar untuk menimang cucu dalam tempoh terdekat ini.

“Saya juga tidak bimbang pada faktor usia yang mencecah 34 tahun sekarang kerana percaya soal rezeki.

“Jika ada rezeki, suami mahu kami memiliki tiga anak untuk melengkapkan rumah tangga,” katanya.

Mengulas mengenai tajaan untuk dua majlisnya iaitu malam berinai yang berlangsung semalam dan majlis resepsi hari ini pula, katanya, dia sangat bersyukur kerana ramai pihak yang sudi bekerjasama untuk merealisasikan dua majlis terbabit.

“Alhamdulillah, kami bertuah kerana dapat bekerjasama dengan banyak syarikat iaitu Lux & Fab Production, Raffiey Nasir dan Ezad Ibrahim.

“Majlis yang berlangsung semalam adalah malam berinai dan serentak dengan pelancaran OST filem lakonan saya, KL Vampires.

“Majlis resepsi malam ini juga makan malam untuk meraikan majlis perkahwinan kami bersama ahli keluarga terdekat, rakan rapat dan pihak media yang menyokong karier seni sejak dulu,” katanya.

Raja Ilya dan Trent Garrett, 38, berkahwin di kediaman saudara ahli perniagaan itu di Perth dalam majlis tertutup dan dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak pada 23 Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 9:06 PM