RAJA Ilya (kanan) nafi dia adalah selebriti yang didakwa memohon tajaan pakej bulan madu. -Foto AZHAR RAMLI
Ramlah Zainal


PELAKON Raja Ilya, 34, menafikan dia adalah selebriti yang didakwa memohon tajaan pakej bulan madu dari agensi pelancongan yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Raja Ilya ketika ditemui berkata, pihak pengurusan acara yang menguruskan majlis resepsi perkahwinannya di sini memang ada memohon tajaan bilik hotel termasuk untuk ahli keluarga tetapi bukan pakej bulan madu seperti yang tular itu.

“Saya tidak berapa pasti mengenai kisah yang tular itu kerana ada terdengar mengenainya dalam tempoh sehari dan selepas itu senyap.

“Saya tidak anggap ia perkara besar apabila netizen kaitkan dengan nama saya kerana ia tiada kaitan,” katanya.

Raja Ilya ditemui pada majlis persandingannya bersama ahli perniagaan Australia, Trent Garrett, 38, di Magica Grand Hall, Star Avenue, Lifestyles Mall, Subang Jaya, malam tadi.

Terdahulu, tular di laman sosial apabila ada pemilik agensi pelancongan memuat naik surat rasmi daripada selebriti dengan permohonan tajaan sebelum ini.

Menerusi foto yang dikongsi menerusi Insta Stories itu, ia memaparkan permohonan tajaan seorang selebriti untuk empat orang, termasuk pengurus dan jurusolek artis.

Malah, selebriti yang tidak dinyatakan namanya itu turut meminta wang sebanyak RM1,000 sebagai bayaran bagi promosi di media sosial. Kisah yang tular itu turut mendapat perhatian netizen yang mengecam tindakan selebriti terbabit.

Bercerita mengenai tajaan, Raja Ilya berkata, dia bersyukur kerana banyak syarikat yang sudi merealisasikan majlis berinai dan resepsi perkahwinannya di Malaysia.

Penaja terbesar ialah dari Habib Jewels yang menaja perhiasan di mana jumlah keseluruhan nilai tajaan mencecah RM10 juta.

“Saya sangat terharu dan berasa dihargai kerana mereka juga menamakan perhiasan yang digayakan mengikut tema majlis ‘Henna Night’ pada malam berinai.

“Selain itu, kami juga dapat tajaan hotel untuk bulan madu di Langkawi. Kami memilih Langkawi kerana ahli keluarga sebelah suami akan menyertai percutian ini kerana mereka tidak pernah bercuti di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 1:04 PM