SITI Nordiana dan Andi Bernadee

SEMPENA kempen membeli produk Muslim menimbulkan polemik dan pemahaman berbeza. Malah, tidak kurang juga yang menjadikan ia ‘senjata’ untuk menghangatkan lagi isu sesama sekali gus mengaitkannya dengan agama.

Namun, bagi mereka yang memahami maksud sebenarnya, perkara ini tidak wajar dijadikan isu utama atau masalah besar. Sebaliknya, menjadikan ia sesuatu yang positif bagi kepentingan bersama.

Cuit Sikit minggu ini mengupas sejauh mana kempen ini difahami rakyat Malaysia terutama dalam kalangan artis.

Siti Nordiana (Penyanyi)

Bagi saya, ia sesuatu yang bagus. Apatah lagi dapat menjana ekonomi pengusaha Muslim. Seperti kita tahu, ada banyak juga produk keluaran Muslim yang berkualiti. Cuma, mungkin tidak ramai yang menggunakan atau kurang sedar mengenai kewujudannya.

Namun, dalam kita menyokong kempen ini, tidak wajar jika wujud perkara sebaliknya. Cukup sekadar dalam diri kita saja. Kalau rasa tak nak beli, jangan beli. Tidak perlu sampai nak kena lancarkan kempen sendiri.

Selama ini kita hidup aman damai walaupun berlainan bangsa dan agama. Jangan disebabkan perkara ini rosak semuanya.

Saya percaya, keharmonian dalam apa jua perkara akan dapat dikekalkan jika kita yang mulakan dari diri sendiri.

Andi Bernadee (penyanyi)

Sebagai pengguna, tidak salah untuk kita menjayakan kempen ini. Ia akan lebih membantu banyak pihak.

Cuma, apa yang membuatkan perkara ini menyimpang dari objektif utama adalah sikap segelintir pihak yang sengaja membangkitkan dan mengaitkan isu yang tidak sepatutnya.

Sedangkan pada awalnya, kempen ini dijayakan dengan cukup harmoni, tapi hujungnya bertukar kebencian dalam kalangan segelintir pihak.

Jadi, bagi saya pokok pangkalnya kita kena faham apa yang ingin dilakukan sebenarnya. Buang sikap ego dan emosi tidak bertempat. Jangan sesekali membangkitkan kemarahan orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:00 AM