Skip this ad x
ANITA Sarawak
Oleh Najiy Jefri


DALAM dunia hiburan, artis yang datang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Namun, lebih ramai yang sekadar berlalu pergi dan tidak kekal lama kerana pelbagai faktor.

Namun, penyanyi lama yang pernah mewarnai industri seni tempatan masih menjadi ingatan.

Barangkali setiap karya dan naskhah yang dibawakan benar-benar ikhlas dan menyentuh hati ramai membuatkan mereka terus diingati dan disanjung.

RAPXTRA minggu ini menyenaraikan 10 artis popular yang hilang dari 'radar industri hiburan', namun masih ramai yang menunggu saat dan ketika mereka muncul kembali mewarnai industri seni.

Dalam kalangan mereka, ada yang meraih populariti tinggi, namun tiba-tiba menghilangkan diri atas beberapa faktor.Namun, bakat luar biasa yang mereka miliki tidak harus kita lupa.

Andai satu masa mereka membuat kemunculan semula pasti industri hiburan akan tersenyum dengan kehadiran mereka yang mempunyai bakat luar biasa.

#Malique

Kehilangan bekas anggota Too Phat, Malique secara misteri menjadi perbualan ramai sejak kumpulan terbabit berpecah pada 2005.Sejak dari itu, kelibat penyanyi ini perlahan-lahan hilang dari industri hiburan. Walaupun muncul dengan lagu-lagu baru, namun Malique tidak pernah membuat kemunculan sama ada di majlis hiburan atau bersama media.


MALIQUE

#Pierre Andre

Pierre Andre yang dilahirkan pada 17 Mac 1985 adalah seorang pelakon, pengarah dan penulis serta anak kepada pelakon veteran Khatijah Tan. Pierre banyak membintangi serta mengarah filem dan drama dan pernah memenangi Anugerah Yasmin Ahmad di Anugerah Skrin 2012.

Filem Primadona Kena Hantu yang ditayangkan pada 13 Oktober 2016 adalah filem komedi seram Malaysia terakhir arahan Pierre Andre sebelum membuat keputusan untuk bersara.


PIERRE Andre

#Jeslina Hashim

Memulakan kerjaya seninya sekitar 1998, penyanyi dan pelakon Jeslina Hashim terkenal dengan lagu Ku Intai Cinta Dalam Rahsia.Lakonannya juga tidak kurang hebat apabila pernah memenangi kategori Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-15 menerusi filem Seri Dewi Malam.

Jeslina yang kini hidup solo mengakui lebih selesa menguruskan perniagaan hingga kelibatnya sudah lama tidak kelihatan di kaca TV mahupun di layar lebar.

#Anita Sarawak

Pelbagai spekulasi kedengaran sejak penghibur terkemuka, Anita Sarawak, 66, tiba-tiba menghilangkan diri dari dunia seni pada pertengahan 2011. Diam tak diam, sudah hampir lapan tahun Anita atau lebih mesra dengan panggilan Kak Nita 'hilang' dan terus bermastautin di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Difahamkan, Anita tidak lagi menyanyi di sana dan menumpukan kepada perniagaan hartanah.Ada juga dakwaan mengatakan penghibur dari Singapura itu sakit, tetapi dinafikan keluarganya.

#Juliana Banos

Penyanyi dan pelakon ini popular dengan lagu Mana Satu.Namun, Juliana mengambil keputusan berhenti menyanyi selepas berkahwin dengan Mokhtar Ahmad pada 16 Disember 2005

#Hairie Othman

Lama tidak mendengar berita, tiba-tiba nama pelakon Hairie Othman tular di laman sosial berikutan peminat bertemunya ketika menjadi pemandu Grab. Hampir lima tahun tidak berlakon, Hairi berkata, dia menjadi pemandu Grab sebagai mencari pendapatan sampingan.Menurutnya, selepas dia 'digam' berikutan terbabit dengan dunia politik, dia tidak mendapat sebarang tawaran berlakon hingga hari ini.

#Waheeda

Penyanyi dan pelakon terkenal Waheeda yang popular dengan lagu Wassini turut berlakon dalam filem Anak Mami dan Jutawan Fakir. Selepas berkahwin dengan pendakwah popular, Ustaz Akhil Hayy, Waheeda tidak mahu lagi aktif dalam bidang seni dan memberi tumpuan kepada keluarga.

#Ruhil Amani

Penyanyi ini popular dengan lagu Kawan pada era 80-an. Bagaimanapun selepas bekerja keras sebagai penyanyi selama 13 tahun, Ruhil membuat keputusan untuk memberi keutamaan terhadap suami, Jamie Wilson dan anaknya.Walaupun tidak aktif seperti dulu, kadang-kadang Ruhil tetap menyanyi berikutan cintanya terhadap nyanyian dan muzik tidak dapat dipisahkan.Sepanjang menyepikan diri, Ruhil berkesempatan merakam 12 lagu baru dan berharap dapat memasarkan lagu itu.

#Faizal AF

Juara program realiti Akademi Fantasia (AF) musim keempat, Mohammad Faizal Ramly atau Faizal, mengakui kegagalannya mengawal diri hingga terjebak dengan anasir negatif meragut kerjaya seni dan hampir memusnahkan hidupnya.Anak kelahiran Marang, Terengganu itu berkata, populariti yang diraih membuatnya lupa bumi yang dipijak dan akhirnya terjebak dengan perbuatan sia-sia.Barangkali itulah penyebab penyanyi yang terkenal dengan 'tagline' Senyum Sokmo itu tiada lagi dalam industri seni.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:15 AM