Syafil Syazwan Jefri

FILEM seram dari Thailand kebanyakannya tidak terlalu mengecewakan dari sudut jalan cerita.

Mungkin kerana ciri-ciri dan kriteria seram yang diadun dalam filem seram dari negara Gajah Putih itu dekat dengan apa yang dibayangkan penonton Malaysia.

Terbaru, filem berjudul The Spirit of Ramayana baru saja menemui penonton Malaysia pada 12 September lalu.

Jalan ceritanya mengenai dendam roh yang tidak tenang dan ingin membalas dendam atas kematiannya yang penuh kejam.

Sejujurnya, itu adalah jalan cerita yang klise dan penonton sudah terlalu kerap dihidangkan dengan cerita seram sebegini.

Satu lagi hal sering menjadi tunjang jalan cerita filem seram Thailand adalah mengenai karma atau balasan atas perbuatan seseorang.

Dari segi perjalanan ceritanya, ia tidak terlalu kuat. Ada banyak kelonggaran yang jelas sekali dapat dilihat, dan boleh diisi dengan lebih baik.


Menggunakan nama Ramayana sebagai tarikan, filem ini sebenarnya tidak terlalu mengetengahkan roh dewa mitos itu sendiri, sebaliknya mengenai roh wanita yang dirasuk dan kelihatan seperti Ramayana.

Lakonan bintang utamanya nampaknya kurang meyakinkan.

Namun, dari segi pergerakannya yang memegang peranan sebagai penari, ia boleh dipuji.

Kesan khas dan solekan, nampak seperti filem kos rendah dan kelihatan tidak realistik.

Elemen kejutan sentiasa menjadi modal dalam filem sebegini, namun tidak keterlaluan sehingga mencacatkan perjalanan cerita.

Mungkin ada sedikit kekecewaan buat penonton yang terlalu meletakkan harapan tinggi untuk filem The Spirit of Ramayana ini.

THE SPIRIT OF RAMAYANA

• ARAHAN: Chaiwat Sitalasai

• PELAKON: Ausadaporn Siriwattanakul, Anusorn Maneeted, Jeffrey Benjakul & Thitikan Sitthisamphan

• GENRE: Seram

• TAYANGAN: 12 September 2019

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:01 AM