NABILA Huda

Ardini Sophia Sina

TERKENAL dengan watak antagonis, Nabila Huda antara pelakon yang sehingga kini masih kekal relevan walaupun sudah hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni.

Kemampuan lakonan Nabila tidak hanya semata-mata karakter jahat. Nabila juga cemerlang melakonkan babak air mata hingga menimbulkan rasa simpati penonton.

Beri apa sahaja watak, Nabila pasti mampu merealisasikannya mengikut kehendak pengarah namun masih menggunakan acuan sendiri tanpa terikut-terikut corak pelakon lain.

Kata anak kepada penyanyi rock legenda Amy Search itu, dalam lakonan perkara paling penting adalah kejujuran. Tidak salah menjadikan seseorang sebagai idola namun perlu berpada-pada.

“Dalam lakonan, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada rujukan. Ia akan menyukarkan kita untuk membawakan watak itu kerana kita tidak menjadi

diri sendiri.

“Contoh kita mahu jadi seperti Angelina Jolie dalam filem Salt. Semua kita tiru termasuk pergerakan tubuh. Kalau buat seperti itu, kita sendiri yang akan rugi kerana tidak dapat tunjukkan bakat sebenar,” katanya.

Menurut Nabila, untuk menjadi pelakon yang baik, seseorang itu perlu menyelidik dan memahami karakter berkenaan sebelum memulakan penggambaran.

Adakalanya pelakon mempunyai pendapat yang berlainan daripada pengarah. Oleh itu, perbincangan dengan pengarah perlu dilakukan bagi memastikan watak itu dapat diterjemahkan dengan baik.

“Komunikasi dua hala sangat penting. Kita kena tanya pengarah apa yang dia inginkan daripada kita. Jangan hanya ikut kepala sendiri. Walaupun kita rasa buruk, tetapi itu yang mereka mahukan. Pengarah ialah individu yang nampak dengan jelas lakonan kita di monitor.

“Bagi saya, kejujuran adalah kunci utama untuk menjadi pelakon yang baik. Setiap watak yang dilakonkan itu perlu lahir dari hati. Bukan buat asal boleh,” katanya.

Ketika menceburi bidang ini pada 2001, Nabila menguruskan kerjayanya sendiri dan belajar mengenai seni lakon ketika berada di lokasi penggambaran. Dia tidak hanya duduk bersama pelakon lain, tetapi juga semua individu yang terbabit termasuk jurukamera dan penulis skrip.

Pada usia 35 tahun, Nabila sudah tahu apa yang dia perlu lakukan dan terus berada dalam zon selesa. Namun, jerih payah yang dilalui, hanya dia sahaja yang tahu.

“Dulu, ketika mula berlakon saya seorang diri tanpa ada pengurus atau pembantu yang menolong. Bagaimanapun, dari hari ke hari, saya belajar daripada mereka yang terbabit dengan penggambaran.

“Untuk berada pada tahap sekarang, ia mengambil masa yang panjang. Namun, apa yang saya lihat ada sesetengah pelakon yang baru berlakon setahun dua sudah berangan jadi bintang.

“Kita berlakon bukan untuk jadi terkenal kerana ia tidak akan bawa kita ke mana-mana pun. Biar kita buat kerana minat, dengan itu kita lebih ikhlas bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 5:15 AM