STACY membuat persembahan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 32, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Ardini Sophia Sina


SEGELINTIR netizen melabel penyanyi Stacy sebagai ‘wanita akhir zaman’ berikutan cara pemakaiannya dikatakan tidak sesuai ketika membuat persembahan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-32, malam tadi.

Stacy menerusi Facebook kemudian memohon supaya netizen tidak membabitkan suaminya yang juga penyanyi iaitu Akim Ahmad kerana dia juga sibuk dan fokus dengan kerjanya.

“Tidak boleh buat salah atau tidak sengaja, silap saja habis dilabel wanita akhir zaman. Mungkin orang yang komen hebat sebegitu memang tidak pernah buat salah.

“Niat saya mahu semangat untuk kembali bekerja mencari rezeki saja dan semua saya buat dalam kadar yang termampu dan ikhlas. Namun, apabila sudah jadi begini dengan mulut manusia penghukum ini buat saya rasa sakit kepada suami dan keluarga.

“Jangan babitkan suami saya. Dia juga sibuk bekerja dan semua kesilapan itu datang daripada saya seorang,” katanya.

Stacy berkata, semua orang pasti berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka dan ia terjadi kepadanya ketika mengadakan persembahan itu.

Menurut Stacy, kain seluarnya tebal dan longgar serta warnanya pula kuning. Dia tidak sangka kesan pencahayaan dan pergerakan tarian membuatkan pakaian itu kelihatan pelik.

Stacy turut mendedahkan dia terfikir untuk berhenti dari dunia hiburan, namun belum mempunyai masa sesuai dan kemampuan untuk meninggalkan kerjayanya itu.

“Nak komen tu janganlah ada yang melampau sangat. Saya ada suami dan keluarga tapi inilah nasib menjadi manusia bekerja dalam bidang ini. Memang ada risiko. Yakin menghibur orang dengan sehabis tenaga tapi lain pula jadinya.

“Saya nasihatkan janganlah tengok benda yang menyakitkan mata sebab memang tak elok. Biarlah niat awal masing-masing itu kami tahu ke mana dan hanya Allah saja yang tahu dan menentukan.

“Saya minta maaf jika buat anda semua tergerak untuk memfitnah dan berfikir macam-macam. Terima kasih kepada yang nampak usaha persembahan saya tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 12:50 PM